Tuesday, November 18, 2008

Suasana Kampung Di Kolam Pak Hamid

Felda Gedangsa, Hulu Selangor yang berada di sempadan antara Selangor-Perak merupakan satu kawasan yang agak jauh dari kesibukkan kota dan kos hidup yang masih boleh dikatakan murah. Disinilah terletaknya sebuah kolam pancing air tawar yang diberi nama Kolam Pancing Pak Hamid.

Kolam Dan Banjir
Bersaiz setengah padang bola, 2 buah kolam disediakan agar dapat memudahkan pemancing membuat pilihan memilih port memancing dengan dikelilingi pokok kelapa sawit yang sengaja tidak ditebang bagi pemancing dapat merasakan suasana perkampungan felda.

Kedatangan kami berempat yang buat pertama kali disambut mesra oleh En. Isa sekeluarga selaku guide memandang beliau orang yang paling kerap berkunjung di kolam ini, tetapi agak mengecewakan apabila diberitahu kolam-kolam tersebut baru seminggu dilanda banjir besar, akibatnya banyak anak-anak ikan tilapia bersaiz 2 jari ternakan kolam bersebelahan masuk, ini mengakibatkan berlaku gangguan pada pemancing terutama yang menggunakan dedak. Pak Hamid selaku tuan kolam dalam proses mengeluarkan semula anak-anak tilapia tersebut. Walaupun kami telah diberitahu sehari sebelumnya, tapi nak buat macamana, masa dan jadual sudah di ‘set’ nak tak nak kena turun juga mencuba nasib, ikan makan tak makan belakang cerita janji dapat lepas gian.

Pacu oh Pacu
Kenyataan ini terbukti apabila setiap balingan umpan disambut anak tilapia dan pacu pada awal pagi. Kemeriahan terasa bila sang pacu menjamah umpan dan membuat lompatan walaupun berumpankan dedak, ‘fuhss…nampaknya pacu sini kebulur…meriah kite’ bisik Halim dan Azam. Tapi bila matahari mula tinggi pacu kurang sebaliknya anak-anak tilapia mengambil alih. Kelihatan kawan-kawan dah mula ‘tarik muka’ tunjuk muka boring, sekali sekala dihiburkan dengan anak tilapia yang naik sekali dua/tiga ekor menggunakan mata rambai, walaupun tujuan utama kami memancing rohu dan patin tapi nampaknya kedatangan kami tidak disambut sang rohu dan patin. Mungkin disebabkan faktor air keruh akibat dilanda banjir. Cuma bila petang tongsan sisik halus skala 3 kg berjaya didaratkan Syahidan yang pada mulanya disangka anak tilapia menggangu umpan.

Kelihatan juga beberapa pemancing lain diseberang berjaya menaikkan rohu skala 1-2 kg mengikut pandangan mata, tapi yang banyak sang pacu. Mungkin orang kampung sini yang dah biasa dengan cara masa dan port nya sebab bila masuk pukul 4 petang baru orang mula memenuhi kolam. Kelihatan juga mereka membuat ‘Jack-Pot’ sesama sendiri memandangkan tuan kolam tidak mengenakan caj dalam senarai bayaran masuk.

Mata rambai & Umpan Power
Penggunaan mata rambai atau cakar ayam sangat efektif di kolam kerana ia memberi kelebihan umpama mata 3 apabila membuat sembatan dan selaku penyelamat mata lucut/putus terutama bila berdepan dengan sang pacu yang gemar memutuskan tali, begitu juga dengan tongsan sisik halus yang makannya bak anak tilapia. Disinilah gunanya alat pengimbang tali, straw atau plaster sin, ia dapat memberi isyarat bahawa umpan mula disentuh ikan terutama tongsan sisik halus yang makannya umpama ikan kecil. Disini pemancing kena peka dan cekap membuat sembatan, ia lebih kepada ‘skill’ masa atau cara anda membuat rembatan, jika tidak anda pasti kecewa. Masa tu mulalah segala jenis sumpah-seranah keluar, padahal kelemahan sendiri. Lama-lama mulalah ‘panas telinga’ dikutuk kawan. Kesimpulannya, kenalah selalu turun memancing kolam.

Istilah umpan power memang tak ada sebenarnya kerana bak kata pepatah “lain padang lain belalang nya”, itu lah yang selalu kami alami, cuma kadang-kadang pemancing kena lebih kreatif menyelami selera ikan. Ada juga cerita dimana pemancing yang menggunakan bancuhan dedak rahsia tewas ditangan kawan yang menggunakan dedak bancuhan biasa. Contoh, kita ke kolam A dapat berbelas-belas ekor tapi bila ke kolam B, cuit pun tak de. Banyak faktor yang perlu diambil kira jika ingin memancing kolam antaranya air, masa ikan dimasukkan, umpan dan teknik yang digunakan. Jika semua itu digabungkan dan positif, pasti berbaloi yuran dibayar dan anda akan tersenyum lebar.

Bagaimana untuk kesana!
Cara yang paling mudah untuk kesana ialah anda perlu menggunakan lebuhraya PLUS menghala ke utara jika dari arah KL, selepas exit Behrang belok kanan menggunakan jalan lama ke utara dan apabila lampu isyarat belok kekiri, anda akan melalui jambatan keretapi, selepas itu anda akan jumpa simpang tiga, belok kekiri hingga jumpa round board(bulatan), ambil simpang pukul 3 menghala ke Sungai Besar. Lebih kurang 9 km perjalanan sampai di persimpangan Felda Gedangsa dan ambil kiri, dalam 1.4 km anda akan jumpa Kolam Pancing disebabkan perjalanan anda nanti banyak melalui perkampungan jadi, berhati-hati bila memandu.

Jika anda ingin mencuba nasib atau berminat nak join ‘Jack-Pot’ disamping menikmati panorama alam felda jadi bolehlah berkunjung di Kolam Pancing Gedangsa atau berhubung dengan Pak Hamid 012-632 6818 / Isa 016-563 5805 untuk keterangan lanjut atau bantuan perjalanan kesana. Akhir sekali ribuan terima kasih diucapkan kepada Pak Hamid dan Abg Isa sekeluarga terhadap layanan dan makanan yang disediakan terutama hidangan tengah hari, patin masak tempoyak yang begitu enak. Selamat Memancing!

No comments: