Wednesday, November 12, 2008

KOLAM PANCING RBK, SUNGAI CHOH


Terletak di Sg. Choh, Rawang, kolam pancing “ Rahim Bersama Keluarga ” atau singkatannya RBK merupakan salah satu kolam yang pada asalnya adalah kolam air masin tapi atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, tuan kolam En. Rahim telah memberi nafas baru dengan mengusahakan kolam pancing air tawar. Dengan keluasan lebih kurang 2500 kaki persegi dan kedalamannya mencecah 7 kaki, kolam ini turut menyediakan pelbagai kemudahan asas. Ia juga turut menjual keperluan memancing seperti umpan dan mata kail. Jadi anda tidak perlu risau jika terlupa membeli keperluan memancing.

Seperti kolam-kolam lain, RBK turut mempertaruhkan ikan-ikan yang tidak kurang hebatnya seperti Rohu, Patin, Tongsan dan Pacu bagi menguji kehebatan para pemancing. Dengan hanya bayaran Rm 21.00 untuk 3 jam dan dengan tambahan Rm 7.00 anda boleh memancing selama 5 jam. Bagi yang suka bersengkang mata, bayaran Rm 30.00 dikenakan dari pukul 12.00 tengah malam hingga 7 pagi. Anda dikenakan bayaran sebanyak Rm 6.00 sejam jika melebihi waktu yang ditetapkan. Semua bayaran telah termasuk untuk Jackpot Bulanan. Setiap hari Jumaat, dari pukul 9 mlm hingga 1 pagi kolam ini mengadakan Jackpot Hantu dengan bayaran Rm 30.00. Hadiah akan diberikan mengikut syarat dan terma pihak pengurusan. Bagi yang suka berhibur setelah penat memancing, bolehlah berkaraoke sambil menjamu selera dengan harga yang berpatutan.

Tali 10lb-15lb
Bagi mereka yang tidak membawa sauk/tangguk, disarankan gunalah tali bersaiz kasar sedikit(10lb-15lb) kerana anda perlu mengheret ikan naik dari tebing kolam. Pihak pengurusan ada menyediakan sauk tapi keperluannya terhad dan jarak dari tebing ke gigi air agak jauh. Jadi ia memerlukan anda turun kebawah sedikit. Pernah satu kejadian dimana seorang sahabat ingin membantu rakannya mengambil ikan tanpa menggunakan sauk telah tergelincir jatuh kedalam kolam. Ikan terlepas, rakannya basah kuyup…

Pemerhatian saya selama memancing disini, penyediaan umpan tidaklah terlalu rumit atau kata lain ikan tidak terlalu memilih umpan. Ini bermakna penggunaan umpan biasa yang dibeli sudah memadai. Mungkin sedikit kelebihan bagi mereka yang menggunakan umpan rahsia. Penggunaan mata rambai juga adalah perkara rutin bagi kolam pancing air tawar. Itu pun bergantung pada syarat dan peraturan “tokey” kolam kerana tidak semua kolam pancing membenarkan penggunaannya atas sebab-sebab tertentu:-

Cadangan Untuk Pengusaha Kolam
Sepanjang pengalaman saya memancing di kolam bayar tak kira air masin atau pun air tawar, tidak ramai pengusaha kolam yang mengutamakan aspek keselamatan terutamanya kolam yang diperbuat daripada simen yang kebanyakannya kolam air masin atau kolam siakap. Ini kerana kolam simen lebih berisiko disebabkan tebing kolamnya yang tinggi dan tiada penghadang. Ia mengundang bahaya terutama bagi mereka yang membawa kanak-kanak. Sekiranya aspek keselamatan dipertingkatkan, saya percaya keselamatan pengunjung lebih terjamin.

Ada beberapa perkara yang saya cadangkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku walaupun ia selalu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, antaranya ialah :-
a) Membuat tangga atau pelantar bagi memudahkan pemancing untuk turun ke gigi air jika perlu.
b) Memperkemaskan penghadang di sekeliling kolam terutama yang diperbuat daripada kayu.
c) Menyediakan Pelampung atau jaket keselamatan
d) Kotak perubatan (First Aid Kit)
e) Alat pemadam api (Fire Extinguisher)

Bagaimana Untuk Kesana?
Cara yang paling mudah untuk kesana ialah menggunakan lebuhraya PLUS dari Utara – Selatan. Selepas keluar dari tol Bukit Beruntung belok kekanan dan terus memandu, anda akan jumpa persimpangan ke Sg. Buaya dan ke kilang Perodua, teruskan pemanduan anda, lebih kurang 2 kilometer dari simpang kilang Perodua itu anda akan ternampak sebuah kilang perabot ( MALPRO ) dan teruslah membelok ke kanan selepas sahaja kilang tersebut, dari jalan besar akan kelihatan kolam RBK.

Jika anda berminat untuk menduga kolam ini atau peminat ‘Jackpot’, bolehlah berkunjung di Kolam Pancing RBK atau berhubung dengan En. Rahim – 019-283 2757 untuk keterangan lanjut. Selamat Memancing!

No comments: