Wednesday, February 3, 2010

Sebarau & Sejarah Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu
Oleh : Mohd Norsham Hashim
Email :
proraccos@yahoo.com


Kuala Kubu Bharu, merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Hulu Selangor, daerah yang paling luas di Selangor. Di samping itu, Kuala Kubu Bharu juga terkenal sebagai tempat melatih pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dengan adanya Maktab Polis Diraja Malaysia, Pusat Latihan Bomba, Pusat Latihan Belia dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) . Ia juga tidak lari dari sasaran pemancing kerana wujudnya sungai dan lombong bekas kegiatan mendulang bijih suatu ketika dulu.

Kisah Lagenda Buaya Putih

Mengikut sumber(Arkib Negara Malaysia) nama Empang@Ampang Pecah ini wujud dengan satu kisah lagenda Buaya Putih kira-kira pada tahun 1883 dimana kedegilan seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking telah menembak seekor buaya putih yang kononnya dianggap oleh penduduk kampung sebagai “penunggu” (spirit guardian of the river) di situ. Akibat dari kedegilan beliau membunuh buaya tersebut maka berlaku satu banjir besar dimana telah memusnahkan empangan yang dibina oleh penduduk dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu, iaitu anak Sungai Selangor. Panjangnya empangan itu kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. Tragedi pecahnya empangan itu juga dikenali sebagai 'Sejarah Kuala Kubu'.

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah itu juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874. Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, maka lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal kenangan. Sehingga kini kita masih dapat melihat bekas peninggalan sejarah akibat dari tragedi tersebut. Itulah serba sedikit pengenalan mengenai Kuala Kubu Bharu.

Ikan Pergunungan

Kita tinggalkan sejenak kisah sejarah tersebut kerana apa yang saya ingin ceritakan ialah mengenai ikan pergunungan seperti kelah, tengas dan sebarau yang semakin hari semakin diancam kepupusan akibat arus pembangunan. Sasaran kami ialah ikan sebarau dan tengas namun perasaan ingin mendaratkan kelah memang lama terpahat dihati. Cerita-cerita penduduk tempatan kerap didengar adakalanya berserta gambar tapi terpaksa dilupa seketika. Pernah seketika satu trip menjejak kelah selama hampir dua minggu dengan pelbagai cara dan umpan tapi hasilnya negatif. Jadi buat sementara waktu kami postpone dulu dan diubah pada trip mengilat. Bagi memaksimakan kepuasan mengilat, kami hanya berbekalkan set sederhana yang berkekuatan 10paun – 15paun walaupun ada desas desus menyatakan wujud sebarau besar yang mampu memutuskan tali atau terbuka mata kail hingga ada yang sanggup menyimpan mata kail tersebut sebagai bukti.

Mengilat Hujung Minggu

Selama beberapa minggu berlangsung, boleh dikatakan setiap hujung minggu kami akan menduga beberapa port dikawasan yang dipanggil Ampang Pecah ini. Ada dua buah empangan peninggalan sejarah dan pihak berwajib telah membaikpulih serta membina pondok rehat bagi memudahkan pengunjung beriadah dan berkelah. Kunjungan pertama kami tidak mengecewakan apabila gewang killer Sebarau, Rapala shallow runner berjaya mendaratkan sebarau skala 300 gram. Bermula dari itu setiap kali kami mengunjungi empangan tersebut pasti membuahkan hasil, paling tidak pun rabut atau putus. Tapi adakalanya kami terpaksa berkongsi lubuk dengan pemancing bottom tempatan yang memancing ikan lampam atau baung. Kami beralah dan mudik kehilir sedikit ke tempat yang digelar Batu Tajam dimana keadaannya berbatu dan berjeram. Disana kami berjaya mendaratkan tengas dengan gewang Strikepro selaman dalam dan beberapa ekor sebarau remaja. Selain dari gewang yang saya senaraikan diatas, Rapala shaprap 7 cm shallow runner(goldfish & crawdad), Rapala tail dancer 5 cm(natural), Rapala x-rap(cyan) dan Yo-zuri crystal minnow sp menjadi pilihan disini. Penggunaan sesudu pula tiada rekod dalam trip kami kali ini. Teknik mengilatnya lebih kurang sama seperti mana-mana kawasan jeram lain yang mana pemancing perlu datang awal pagi atau menunggu hingga lewat petang. Bagi kami tidak merumitkan kerana jarak dari tempat tinggal ke kawasan mengilat ini hanya memerlukan 20 minit memandu.

Untuk Kesana

Jika anda dari arah selatan., sebaik sahaja anda melepasi pekan Batang Kali anda akan melalui kawasan perkampungan Rasa, teruskan pemanduan sehingga anda terlihat papan tanda ke arah Kuala Kubu Bharu, belok ke kanan dan teruskan perjalanan. Kira-kira 10 minit kemudian anda lihat sebuah jambatan yang merentasi Sungai Selangor dan terus belok kanan untuk ke empangan pertama dan kiri ke empangan kedua. Selamat Memancing!

1 comment:

tuan said...

boleh try tengok lubuk ampang pecah.tp nk tanu jugak kalu pakai spoon ok ker.ader yg mengejar ker selain pakai rapala..