Wednesday, November 12, 2008

KOLAM DANAU PANCING DAMAI IJOK



Pertama kali saya melangkah masuk ke kolam ini saya sangkakan sedang melawat sebuah taman rekreasi dan bukan sebuah kolam pancing ikan air tawar kerana keadaan suasananya yang tenteram dan diliputi pokok-pokok taman yang menghijau.

Kolam Dalam Taman
Terletak di Ijok, Kuala Selangor. Kolam yang berbentuk ‘U’ dan berkeluasan 2.5 ekar serta keseluruhan kawasan seluas 5 ekar ini boleh menampung kira-kira 250 pemancing dengan selesa. Berkedalaman dianggarkan melebihi 3 meter dibahagian tengah kolam ini sudah cukup menguji kemahiran dan kesabaran pemancing untuk menewaskan ikan-ikan kolam seperti Rohu, Patin, Pacu dan lain-lain. Dengan perbagai kemudahan asas seperti surau, tandas, kantin dan karaoke, ia juga menyediakan tempat penginapan bertaraf chalet bagi memudahkan pemancing yang datang dari jauh atau ingin membawa keluarga menginap sambil memancing. Kolam ini boleh dikatakan antara kolam yang terbersih dan teratur dari segi infra struktur yang pernah saya lawati. Cuma kedudukannya agak jauh dari bandar tapi jika anda biasa menggunakan jalan untuk ke Kuala Selangor, tidaklah terlalu susah untuk kesana.

Dibawah pengurusan baru iaitu Kail Desa awal bulan Disember 2007. Pada awal pembukaan, sebanyak 4 tan ikan dilepaskan secara berperingkat dan setiap minggu akan ditambah pada hari Rabu atau Khamis. Premis ini dibuka 24 jam kecuali hari Khamis sehingga jam 12 malam. Bayaran masuk adalah RM 20 untuk 4 jam dan RM 58 untuk 12 jam dengan bayaran RM 2 untuk tabung wang terkumpul mingguan yang diadakan setiap dua minggu sekali. Cabutan bertuah juga diadakan setiap dua minggu sekali untuk kesemua pemancing yang datang sepanjang dua minggu itu. Bagi pemancing yang suka memancing di awal pagi, hanya dikenakan bayaran RM 25 untuk 7 jam memancing dari pukul 12 mlm sehingga 7 pagi.

Roti + Kelapa + Perisa Pandan = Patin
Memang tak dinafikan ramai kaki pancing kolam mempunyai umpan rahsia masing-masing. Ramuan roti + kelapa + perisa pandan saya temui ketika berkunjung di kolam Danau ini dikatakan berpotensi menewaskan ikan-ikan terutama patin kolam dan ia sedang hangat dipergunakan berbanding penggunaan dedak mahu pun umpan lain.

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menggunakan umpan ini. Roti dipotong dadu kecil-kecil, kemudian digaulkan dengan kelapa parut dan campurkan sedikit perisa pandan yang juga boleh didapati disini atau dikedai-kedai pancing, biarkan seketika bagi ramuan-ramuan tersebut menyerap didalam roti dan boleh terus digunakan.

Untuk menggunakannya, mata kail bersaiz besar adalah disyorkan seperti mata kail udang bersaiz no 14 ke 15 kerana batang terasnya yang kecil dan tajam memudahkan melekat kukuh dimulut ikan. Tidak perlu menggunakan mata rambai atau cakar ayam, penggunaan perambut dua mata sudah memadai. Digalak menggunakan tali perambut jenis sulam(braided line) kerana dikatakan ia lebih sensitif, mudah melekat dan tahan putus jika mendapat ragutan dari sang Pacu. Cangkuk roti tadi hingga menutupi mata kail, kemudian kepal-kepalkan roti menjadi gumpalan besar atau ‘bomm’. Cara ini dapat membantu umpan dari terlerai sepenuhnya jika terlalu lama didalam air kerana roti mudah kembang. Jangan terlalu memaksa ketika membuat balingan kerana ia mudah terlucut dari mata kail. Tidak perlu membuat sembatan yang terlalu kuat, biarkan radar naik dan pantas membuat sembatan biasa, ia sudah memadai. Saya pasti anda tidak akan kecewa.

Disini anda juga berpeluang membeli minyak bancuhan dedak yang dikatakan ‘killer’ bagi ikan-ikan kolam termasuklah cara-cara bancuhan dan jenama dedak yang selalu digunakan oleh pemancing-pemancing yang lebih senang digelar ‘geng cari makan’’.

Sistem SMS
Apa yang menarik perhatian saya ialah kolam ini menggunakan sistem pesanan ringkas(SMS) jika terdapat sebarang berita terbaru berkenaan kolam seperti pertandingan atau pun perubahan dari segi yuran. Dengan pendedahan baru ini pemancing tidak risau jika terlepas sebarang perkembangan tentang kolam. Cuma anda perlu meninggalkan nombor talipon bimbit di kaunter.

Bagaimana untuk kesana!
Cara mudah dengan menggunakan laluan MRR2 terus menghala Kuala Selangor. Lebih kurang 15 km dari penjara Sg.Buluh. Sampai di pekan Ijok dan Masjid Ijok, anda akan jumpa papan tanda Kolam Danau Pancing Damai bertentangan dengan masjid, belok kiri. Selamat Memancing!

Untuk keterangan lanjut atau tempahan chalet boleh berhubung :-
ADI – 017 886 0973

No comments: