Wednesday, November 12, 2008

KOLAM PANCING BISIKAN BAYU, KERLING


Setiap kali saya berkunjung ke kolam pancing ada beberapa perkara penting yang saya titik beratkan selain dari tandas, surau dan gerai makan. Iaitu faktor air, rasa dan saiz ikannya.

Saiz, rasa & air
Bila disebut tentang kolam komersial, saya lebih mementingkan perkara yang diatas sekiranya saya inginkan ikan tersebut sebagai santapan, faktor yang perlu diambil kira ialah keadaan airnya bagi menjamin tiada sentuhan lumpur pada ikan. Selalunya pemancing akan melihat keadaan kolam tersebut ada pengaliran air segar masuk/keluar dan secara sendirinya kita dapat membayangkan bahawa ikan-ikan didalamnya kurang atau tiada berbau lumpur, barulah kita fikirkan tentang saiz ikannya pula.

Trip saya kali ini ialah sebuah kolam pancing air tawar yang pada pendapat saya antara kolam yang terbaik saya pernah kunjungi kerana selain dari suasana dan kebersihan, rasa ikannya yg tiada sentuhan lumpur. Kolam yang menggunakan sistem pengaliran terus dari sungai-sungai pergunungan berikutan kedudukannya dipersisiran banjaran Titiwangsa dan kurang berlaku percemaran alam sekitar. Anda dapat melihat sendiri keadaan air kolam yang bersih dan jernih kehijauan memberi kelebihan pada ikan untuk lebih aktif dan agresif.

Bisikan Bayu
Kolam Bisikan Bayu, nama kolam yang tidak asing lagi bagi peminat kolam sekitar Hulu Selangor. Terletak bersebelahan kawasan riadah Kolam Air Panas dan Sungai Kerling. Kolam yang jauh dari kesibukan kota ini pasti menjanjikan satu kenangan indah jika anda pertama kali berkunjung. Ia tidak terhad untuk kaum bapa sahaja. Anda juga boleh membawa keluarga kerana Bisikan Bayu turut menyediakan tempat penginapan bertaraf banglo dengan harga berpatutan selain perbagai kemudahan lain termasuklah taman rekreasi.

Kolam yang berkeluasan setengah padang ini diusahakan dan dinaik taraf oleh seorang bekas tentera, Abg Mat dan isteri. Seperti kolam komesial lain, kemudahan asas turut disediakan dan yang menarik, kolam ini menyediakan perbagai makanan ala kampung jika ada permintaan. Jadi, dapatlah anda memancing sambil menjamu selera dengan suasana yang segar, indah dan bersih. Ia juga turut menyediakan khidmat seorang chef bagi menyediakan ikan bakar hasil memancing.

Umpan Lembik
Ramai yang mengeluh jika menggunakan umpan dedak yang lembik kerana ia menyukarkan untuk membuat balingan tapi sebenarnya penggunaan umpan lembik lebih berpotensi kerana ia mudah terlekat pada mulut ikan dibanding umpan biasa terutama ikan yang gemar menyedut seperti tongsan sisik halus. Selain itu, ia mampu mengeluarkan bau-bauan dengan cepat dan memudahkan ikan untuk mengesan, cuma kelemahanya mudah terlerai jika kurang peka dengan cara balingan atau tali tersentap.

Kali ini saya ingin berkongsi tip tentang balingan menggunakan umpan lembik terutama mereka yang tidak menggunakan mata rambai ber-spring. Cara termudah ialah sebelum membuat balingan, labuhkan umpan lebih kurang setengah depa dari hujung cincin agar dapat membuat hayunan yang lembut tapi jauh dengan erti kata lain, jangan terlalu memaksa. Sebaik-baiknya gunalah set ringan serta tali berkekuatan 4-8 paun, ia turut dapat membantu membuat balingan umpan. Hayunlah dengan lembut umpama pepatah “menarik rambut didalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”. Jika terlalu kuat atau memaksa, umpan akan bertaburan dan jika terlalu perlahan umpan tak pergi jauh. Disini juga perlu ada ‘skill’. Cubalah beberapa kali pasti anda dapat ‘skill’ nya.

Saya syorkan gunalah dedak sahaja tanpa atau kurang penggunaan tepung kerana ia membuatkan umpan menjadi keras dan mengurangkan bau aroma umpan tersebut. Untuk menduga baung atau pacu, gunalah cacing atau serangga seperti cengkerik tapi kolam ini melarang penggunaan usus binatang seperti perut dan hati ayam kerana ia boleh menjejaskan kebersihan air disamping baunya mengganggu ketenteraman pemancing lain.

Kepuasan Maksimum
Ikan yang selalu mencuri tumpuan disini ialah patin, rohu dan pacu. Disebabkan ia tinggal di kolam yang airnya cukup oksigen, ikan-ikan disini mempunyai daya juang yang cukup kuat dan ganas. Kejadian joran terjun adalah perkara biasa bagi mereka yang pertama kali berkunjung disini. Ia jarang memberi amaran dan jika anda leka atau tidak melonggarkan system tegangan, pasti kena minta bantuan sahabat untuk mengambil joran yang terjun. Jika anda inginkan kepuasan maksimum, gunalah set pancing ringan. Anda pasti dapat merasai satu kelainan dipandankan pula dengan ikan-ikan yang cukup oksigen, pasti melenguhkan tangan walaupun hanya seekor berjaya didaratkan.

Ikan-ikan sini juga dikatakan bersikap suka membuat lubang/kawah dan berpindah-randah. Mungkin sebab faktor dasarnya berpasir. Jika anda dalam masa ½ - 1 jam umpan tidak dijamah, berpindahlah tempat kerana mungkin anda tidak melabuhkan umpan betul-betul dikawasannya. Sumber menyatakan mungkin penghuninya yang padat menyebabkan perebutan kawasan terutama sang pacu. Ikan patin bersaiz besar( 9 kg keatas ) turut dilepaskan dan kategori sebagai “Jackpot”. Bisikan Bayu juga menyediakan sebuah kolam yang dibuka kepada sesiapa berminat dengan cara ‘ Pancing, Timbang & Bayar ’ dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Bagaimana ke sana?
Tidak sukar untuk kesana! Jika anda dari sekitar Lembah Klang, jalan termudah ialah menggunakan jalan lama kearah Ipoh, selepas saja pekan Kerling lebih kurang 500 meter anda akan nampak papan tanda “Kolam Pancing Bisikan Bayu” disebelah kanan persimpangan dan teruskan mengikut arah papan tanda, kira-kira 10 minit perjalanan yang melalui kampung baru cina anda akan sampai di kolam. Perjalanan dari simpang jalan besar hingga ke kolam kira-kira 2 km. Selamat memancing dan beriadah!

Sebarang Pertanyaan Sila Hubungi:-
Abg Mat ~ 012-927 7113

1 comment:

eddy said...
This comment has been removed by a blog administrator.