Wednesday, February 3, 2010

Jejak Patin Lombong Pecah Batang Berjuntai.

Jejak Patin Lombong Pecah,
Batang Berjuntai.
Oleh : Mohd Norsham Hashim.
Email : proraccos@yahoo.com

Kira-kira 6-7 tahun lepas pernah tersiar dalam artikel majalah sukan memancing mengenai kehadiran Patin mega yang bersaiz 5 kg hingga mencecah 22 kg di lombong pecah Sg Selangor berhampiran kawasan SKC Bukit Beruntung.

Tetapi selepas itu cerita tersebut sepi kerana lombong itu semakin cetek dipenuhi pasir akibat daripada perubahan cuaca terutamannya selepas La Nina melanda dan sejak terbinanya Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu. Apabila pintu empangan ditutup, arus Sungai Selangor di hilir seakan mati kerana paras airnya surut mendadak. Aliran air yang masuk hanya mengharapkan dari sungai-sungai kecil seperti Sg Batang Kali, Sg. Kerling dan Sg. Rawang. Mengikut sumber, Sungai Selangor mempunyai kepanjangan hampir 77 kilometer merangkungi 25 kilometer kawasan hutan dan 52 kilometer kawasan luar bandar yang hulunya di Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Kuala Selangor.

Mungkin atas desakan ingin mencari tempat yang sesuai dengan saiznya yang besar maka lombong pecah menjadi pilihan dan lokasinya banyak terdapat di Batang Berjuntai. Cuma bilangan dan beratnya berkurangan kerana terdapat ramai pemukat professional dan amatur yang berkunjung ke situ. Tidak kurang pula pemukat import yang menjelajah Sg. Selangor dari hulu hinggalah ke hilir. Ada kalanya kita rasakan seperti menjadi pendatang dinegara sendiri. Mana tidaknya, tengah syok memancing selamber…je rentang pukat depan kami, macam tak buat salah…

Jinak-Jinak Patin

Jika anda melayari laman web www.google.earth.com anda dapat mendapati terdapat banyak lombong-lombong pecah sepanjang Sungai Selangor terutamannya di Batang Berjuntai dan boleh dikatakan hampir semua lombong-lombong ini didiami oleh patin-patin bersaiz mega. Ini dapat dilihat melalui libasan ekor ketika bermain air. Ada kalanya jika anda menaiki bot, percikan air dari libasan ekornya boleh terkena anda. Nampak macam jinak, tapi tidak mudah untuk menewaskannya dengan menggunakan joran apatah lagi si pemukat. Patin dikatakan begitu sensitif dengan sebarang gangguan contohnya enjin bot atau pun kocakan air dari dayung bot, bak kata pepatah “ jinak-jinak merpati, makan ditapak tangan, bila ditangkap ia terbang ”. Ini dapat saya nyatakan ketika mengikuti beberapa trip baru-baru ini. Bayangkan ketika enjin bot dihidupkan, keadaan senyap dari kocakan air seperti tiada ikan langsung tetapi sebaik saja enjin dimatikan dan sauh dilabuhkan, mulalah ia kembali aktif bermain dipermukaan air. Persembahannya begitu sempurna membuatkan kami tidak sabar untuk menduga kehebatannya tatkala menjamah umpan.




Trip ‘Testing’

Berpunca dari satu pesanan ringkas(SMS) dari seorang rakan yang gemar memancing udang galah disana, “ ptg tadi ada cina naik patin 8 kg & 10 kg “. SMS tu saya sampaikan pada kawan-kawan yang lain maka satu trip ‘testing’ diatur dan seramai 6 orang menyertai. Disebabkan masing-masing terikat dengan tanggungjawab kerja dan rutin harian, jadi trip hanya boleh dilaksanakan pada hujung minggu sahaja. Permulaan trip ini kami memilih memancing pada waktu malam kerana waktu siang bagai pesta bagi pemancing udang dan antara sebab lain ialah peluang untuk menyewa bot fiber tanpa enjin dengan bayaran sewa Rm 15 yang disediakan oleh penduduk kampung berdekatan turut terhad. Kami memilih menaiki bot kerana saiz lombong pecah ini yang besar. Jika memancing dari tebing, jarak lontaran terhad dari sasaran kerana ikan kerap bermain ditengah.

Pukul 6.30 petang dimana geng-geng kaki udang sudah mula meninggalkan lombong, kami pula menggantikan tempat mereka dengan menggunakan khidmat enjin tangan( dayung ). Trip ‘testing’ ini sebenarnya lebih ke arah mencuba ‘port’ baru yang hanya berpandukan cakap-cakap orang tentang umpan dan saiz ikan memandangkan hanya seorang saja dari kami yang pernah datang kesini, itu pun hanya sekadar memancing udang galah.

Sawit Microwave

Dengan hanya berbekalkan umpan buah sawit yang dimasak menggunakan cara mudah, moden dan cepat tanpa perlu mengutip dibawah pokok atau memeramnya., ia ternyata berhasil. Idea dari seorang sahabat untuk menggunakan microwave sebagai alternatif terbaik diadaptasikan kerana ianya dapat menjimatkan masa. Dengan kepanasan 360 darjah celsius dan tetapan masa selama 2 hingga 2½ minit, buah sawit boleh masak dengan sempurna seperti semulajadi. Bau dan kualitinya pula amat memuaskan, cuma kelemahannya ia cepat kembali keras seperti buah muda jika terdedah pada udara terutama pada waktu malam. Mungkin kerana ia dimasak secara paksa, namun kaedah ini tetap boleh digumakan sekiranya anda kesuntukkan masa. Jangan lupa membawa umpan sampingan seperti anak ikan kap dan talapia untuk menjerat sang Baung sementara menunggu ragutan Patin. Sekurang-kurangnya ada juga lauk untuk dibawa pulang.

Pelbagai cara digunakan bagi menggoda Patin untuk menjamah umpan. Ada yang mericik dan mencangkuk satu persatu seperti ‘satay’ atau menggunakan sawit masak yang dibuang biji tetapi kami memilih untuk mencangkuk sebiji dan dipicit bagi mengeluarkan bau kerana ia membantu umpan supaya terapung. Ini kerana struktur dasar yang berlumpur menyebabkan ikan gagal untuk menghidu bau umpan.

Pukat Lama & Set Pertengahan

Penggunaan set pertengahan berat atau sedikit ‘keras’ disarankan kerana anda perlu berdepan dengan pukat terutama pukat lama yang ditinggalkan. Ia selalunya terjadi pabila pemukat tidak berjaya menemui semula pukat yang dipasangnya atau hilang penanda yang selalunya disebabkan oleh air besar dimana segala sampah sarap mahu pun kayu balak akan dibawa oleh kepala air. Bagi memudahkan kerja mereka, pukat akan ditinggalkan begitu saja dan selalunya pemancing yang menjadi mangsa. Saya tidak menyalahkah mereka 100% kerana itu adalah mata pencarian mereka dan bukan semuanya bersikap demikian. Selalunya golongan ini memukat hanyalah sementara disesuatu tempat dan berpindah randah bila hasil berkurangan kerana mereka bukan penduduk tetap.

Kejadian tali tersangkut pada pukat bila ikan meragut umpan kerap berlaku disebabkan kita tidak boleh menjarakkan sejauh mana ikan akan mengheret tali pancing terutama waktu malam. Ia selalunya berakhir dengan kekecewaan dan sumpah seranah kerana banyak aktiviti melelapkan mata atau bersembang sementara menunggu umpan diragut ikan. Jadi, kehadiran ikan tidak begitu disedari. Bagi mengelakkan joran diheret ikan, joran akan ditambat dan sistem tegangan dikemaskan sedikit. Kekili bersaiz 3000 hingga 4000, joran berkekuatan 10lb-20lb dan tali 15lb-18lb sudah cukup bagi memudahkan anda mengawal larian Patin. Penggunaan mata kail Mustard(LiveBait) no 1/0 dan perambut sepanjang setengah depa yang sedikit kasar dapat memudahkan anda jika tersangkut jaring. Disebabkan lombong pecah ini dipengaruhi terus oleh arus sungai yang masuk, jadi gunakan batu bersaiz no5 hingga no7.

Patin 8kg

Dalam pencarian kami hampir sebulan, sebanyak 4 kali kami turun disini. Modius operandi hanya ingin mencari jawapan dan bukti bahawa masih ada Patin bersaiz mega disini yang selama ini hanya mendengar desas-desus mengenai kewujudannya. Dalam trip ini, kami berjaya menewaskan sebanyak 4 ekor Patin dan yang saiz terbesar yang diperolehi mencecah 8kg. Yang putus, rabut atau sangkut pukat jangan cakap ler…yang tu gerenti besar…. Walaupun hasil kali ini tidak begitu memuaskan hati tetapi kami tetap bersyukur kerana masih boleh merasa karen ikan besar disamping mempelajari pengalaman dari kekecewaan termasuklah mengangkat sauh ketika fight dengan ikan, mengenali lubuk, kedalaman dasar mahupun persembahan umpan. Kesimpulan yang dapat kami berikan melalui pengalaman dalam trip ini ialah bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan Patin sungai. Dalam keadaan sebeginilah istilah “team work” diperlukan.

1 comment:

Kontraktor Muda said...

salam, kalau boleh saya nak tahu dimana lokasi lombong ini dengan detail??kalau ada contact number lagi bagus...saya berminat sangat untk pergi ketempat ini...terima kasih