Wednesday, February 3, 2010

Menjerat Sepit Biru Sungai Dulang


Menjerat Sepit Biru, Sungai Dulang
Oleh : Mohd Norsham Hashim
Email :
proraccos@yahoo.com

Udang galah atau nama saintifik nya Macrobranchium rosenbergii sering menjadi buruan kaki pancing walaupun ada pendapat menyatakan memancing udang kurang mencabar atau tak power tapi bagi mereka yang terkena karen-nya pasti akan turun walaupun setahun sekali bagi melepaskan gian.

Sungai Dulang, Perak salah satu nama yang memang tidak asing lagi bagi peminat udang galah terutama bagi mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang kerana jarak dalam lingkungan 150-200 kilometer sahaja. Dengan bermodalkan seorang lebih kurang rm50 ke rm80, berjemur sehari suntuk dan seramai 4-5 orang untuk sebuah bot yang dahulunya dikenali sebagai bot penambang. Anda akan menikmati satu trip seharian memancing udang galah yang dikatakan mampu membuat anda pulang dengan hasil memuaskan dan lebih tersenyum lebar jika anda berkunjung kena pada masanya.

Bot yang ketika dahulunya digunakan untuk membawa penumpang menyeberangi sungai Perak untuk ke kampung seberang kini kurang digunakan lagi semenjak terbinanya Jambatan Sultan Yusuf. Jadi pengusaha bot-bot berkenaan mengambil altenatif baru dengan menjadikan bot-bot berkenaan sebagai bot untuk memancing udang galah. Secara tidak langsung ia dapat di menafaatkan dari terbiar reput begitu saja disamping menambah rezeki keluarga.

Atas pelawaan kawan-kawan maka satu trip diaturkan dengan menggunakan khidmat tekong bot yang tersohor disini, Pak Ayop sebagai pembuka tirai 2008 walaupun akhir tahun kami telah pun berkunjung ke Sungai Dulang. Bukan apa, hanya perasaan rindu pada henjutan-henjutan si jenggo atau jerangkung. Kalau nak beli harga pasaran hampir bercecah rm30 ke rm40 sekilogram dan meningkat mendadak jika ada hari perayaan terutamanya Tahun Baru Cina. Ini antara sebab ia ditangkap secara berluasa dan paling menyedihkan ialah cara menangkap menggunakan taktik kotor seperti menuba. Tetapi di Sungai Dulang, tahap kepupusan udang masih boleh dikawal kerana saiz sungainya yang besar dan si penuba memang tidak dapat melaksanakan impian. Rasanya satu lori tuba pun masih belum cukup untuk menuba sungai tersebut…hehee… Jadi setiap kali kami turun kesini tidaklah perlu rasa risau akan tahap quantiti habitat bawah air terutama udang galah.


Faktor Pasang Surut & Cuaca

Dua perkara yang perlu dititik berat terutama pasang suruh air yang dipengaruhi oleh pergerakan bulan dalam kalendar islam. Air mati adalah pilihan utama untuk memancing udang kerana pasang surut air tidak begitu ketara dan arus sederhana laju. Selalunya pemancing akan memilih tarikh dari 7 hingga 11 dan 19 hingga 24 bulan islam kerana memudahkan pemancing dari segi penggunaan batu ladung yang hanya bersaiz no 5-6. Oleh kerana Sungai Dulang mengikut pasang surut perairan Pantai Barat Semenanjung(Selat Melaka) maka air pasang surut berlaku sebanyak dua kali, maknanya selang 6 jam akan berlaku perubahan arus sama ada pasang ke surut atau sebaliknya .

Ada sumber menyatakan udang kurang aktif di waktu air sungai sejuk dan sedikit tip untuk mengenal pasti air sungai sejuk dengan melabuhkan batu ladung ke dasar dan cuba rasa batunya.. Jika sejuk ia menandakan air didasar sejuk dan udang dikatakan kurang aktif, ia selalu berlaku ketika air mati kekal yang mana ketika ini arus sangat lemah atau tiada langsung.

Selain dari faktor air, musim panas juga masa yang penting kerana dikatakan udang aktif menjamah umpan pada waktu ini berbanding musim tengkujuh dan hujung tahun hingga ke awal tahun antara bulan 10 hingga 2 adalah bulan yang terbaik kerana musim udang bertelur. Cuma jika memancing diluar dari musim, hasilnya agak berkurangan tapi bolehlah…

Peralatan & Umpan

Rata-rata set pancingan udang adalah sama. Penggunaan set ringan ’ ultra ringan ekstrim’ dari segi kekili, joran atau pun tali adalah aksesori yang sepadan dengan tenaga udang, cuma disini anda digalakan menggunakan tali sulam( braided line ) atau pun tali yang direndam dengan air teh pekat kerana anda akan diajak bergurau dengan sang buntal(ikan buntal) yang sangat berminat dengan kilauan tali mono. Bayangkan tengah asyik menumpu pada pancing, tiba-tiba tali kendur. Masalahnya, ia gemar memutuskan di pertengahan tali. Dah ler guna kekili kecil, silap-silap habis satu gelendung. Ini tak termasuk mata kail dan batu ladung. Kos sekali putus mata kail + cili + batu ladung = rm 0.80. Kalau kena 10 kali putus, terasa juga poket. Jadi, tali sulam sebagai altenatif terbaik biar pun mahal sikit tapi berbaloi. Kadang-kadang umpan turun di kongsi dengan ikan lain terutama Duri. Agak merumitkan bila membuka mata kail kerana ia selalu menelan umpan. Anggap ia sebagai dugaan dan buatlah persediaan peralatan seperti playar bermuncung panjang(long noise)

Dari segi pemilihan umpan pula, perumpun, cacing dan anak udang menjadi pilihan. Ada juga yang menggunakan umpan seperti hati ayam atau ikan guppy, bukan tiada sambutan tapi kurang. Cuma kos perumpun sekarang pun boleh membuatkan kita menelan air liur dengan harga rm8 ke rm12 sebungkus bersaiz sederhana dan untuk anak udang pula anda boleh menempahnya dengan tekong bot.
Untuk keterangan lanjut atau membuat tempahan bot bolehlah menghubungi :-
Pak Ayop -019 4137425

1 comment:

Gie hardcore said...

saya suka mancing udang galah,tapi betul kena tengok cuaca dan air.setelah lama saya di kuala lumpur ni..teringin nk merasa mancing udang galah sungai lagi.sekira nyer tuan sudi membawa saya bersama rakan2 sekerja pergi mancing udang galah d tempat tuan. sila hubungi saya (azizi-0122704656) saya setiap minggu mahu mancing udang dn ikan laut atau sungai.