Wednesday, February 3, 2010

Jejak Patin Lombong Pecah Batang Berjuntai.

Jejak Patin Lombong Pecah,
Batang Berjuntai.
Oleh : Mohd Norsham Hashim.
Email : proraccos@yahoo.com

Kira-kira 6-7 tahun lepas pernah tersiar dalam artikel majalah sukan memancing mengenai kehadiran Patin mega yang bersaiz 5 kg hingga mencecah 22 kg di lombong pecah Sg Selangor berhampiran kawasan SKC Bukit Beruntung.

Tetapi selepas itu cerita tersebut sepi kerana lombong itu semakin cetek dipenuhi pasir akibat daripada perubahan cuaca terutamannya selepas La Nina melanda dan sejak terbinanya Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu. Apabila pintu empangan ditutup, arus Sungai Selangor di hilir seakan mati kerana paras airnya surut mendadak. Aliran air yang masuk hanya mengharapkan dari sungai-sungai kecil seperti Sg Batang Kali, Sg. Kerling dan Sg. Rawang. Mengikut sumber, Sungai Selangor mempunyai kepanjangan hampir 77 kilometer merangkungi 25 kilometer kawasan hutan dan 52 kilometer kawasan luar bandar yang hulunya di Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Kuala Selangor.

Mungkin atas desakan ingin mencari tempat yang sesuai dengan saiznya yang besar maka lombong pecah menjadi pilihan dan lokasinya banyak terdapat di Batang Berjuntai. Cuma bilangan dan beratnya berkurangan kerana terdapat ramai pemukat professional dan amatur yang berkunjung ke situ. Tidak kurang pula pemukat import yang menjelajah Sg. Selangor dari hulu hinggalah ke hilir. Ada kalanya kita rasakan seperti menjadi pendatang dinegara sendiri. Mana tidaknya, tengah syok memancing selamber…je rentang pukat depan kami, macam tak buat salah…

Jinak-Jinak Patin

Jika anda melayari laman web www.google.earth.com anda dapat mendapati terdapat banyak lombong-lombong pecah sepanjang Sungai Selangor terutamannya di Batang Berjuntai dan boleh dikatakan hampir semua lombong-lombong ini didiami oleh patin-patin bersaiz mega. Ini dapat dilihat melalui libasan ekor ketika bermain air. Ada kalanya jika anda menaiki bot, percikan air dari libasan ekornya boleh terkena anda. Nampak macam jinak, tapi tidak mudah untuk menewaskannya dengan menggunakan joran apatah lagi si pemukat. Patin dikatakan begitu sensitif dengan sebarang gangguan contohnya enjin bot atau pun kocakan air dari dayung bot, bak kata pepatah “ jinak-jinak merpati, makan ditapak tangan, bila ditangkap ia terbang ”. Ini dapat saya nyatakan ketika mengikuti beberapa trip baru-baru ini. Bayangkan ketika enjin bot dihidupkan, keadaan senyap dari kocakan air seperti tiada ikan langsung tetapi sebaik saja enjin dimatikan dan sauh dilabuhkan, mulalah ia kembali aktif bermain dipermukaan air. Persembahannya begitu sempurna membuatkan kami tidak sabar untuk menduga kehebatannya tatkala menjamah umpan.




Trip ‘Testing’

Berpunca dari satu pesanan ringkas(SMS) dari seorang rakan yang gemar memancing udang galah disana, “ ptg tadi ada cina naik patin 8 kg & 10 kg “. SMS tu saya sampaikan pada kawan-kawan yang lain maka satu trip ‘testing’ diatur dan seramai 6 orang menyertai. Disebabkan masing-masing terikat dengan tanggungjawab kerja dan rutin harian, jadi trip hanya boleh dilaksanakan pada hujung minggu sahaja. Permulaan trip ini kami memilih memancing pada waktu malam kerana waktu siang bagai pesta bagi pemancing udang dan antara sebab lain ialah peluang untuk menyewa bot fiber tanpa enjin dengan bayaran sewa Rm 15 yang disediakan oleh penduduk kampung berdekatan turut terhad. Kami memilih menaiki bot kerana saiz lombong pecah ini yang besar. Jika memancing dari tebing, jarak lontaran terhad dari sasaran kerana ikan kerap bermain ditengah.

Pukul 6.30 petang dimana geng-geng kaki udang sudah mula meninggalkan lombong, kami pula menggantikan tempat mereka dengan menggunakan khidmat enjin tangan( dayung ). Trip ‘testing’ ini sebenarnya lebih ke arah mencuba ‘port’ baru yang hanya berpandukan cakap-cakap orang tentang umpan dan saiz ikan memandangkan hanya seorang saja dari kami yang pernah datang kesini, itu pun hanya sekadar memancing udang galah.

Sawit Microwave

Dengan hanya berbekalkan umpan buah sawit yang dimasak menggunakan cara mudah, moden dan cepat tanpa perlu mengutip dibawah pokok atau memeramnya., ia ternyata berhasil. Idea dari seorang sahabat untuk menggunakan microwave sebagai alternatif terbaik diadaptasikan kerana ianya dapat menjimatkan masa. Dengan kepanasan 360 darjah celsius dan tetapan masa selama 2 hingga 2½ minit, buah sawit boleh masak dengan sempurna seperti semulajadi. Bau dan kualitinya pula amat memuaskan, cuma kelemahannya ia cepat kembali keras seperti buah muda jika terdedah pada udara terutama pada waktu malam. Mungkin kerana ia dimasak secara paksa, namun kaedah ini tetap boleh digumakan sekiranya anda kesuntukkan masa. Jangan lupa membawa umpan sampingan seperti anak ikan kap dan talapia untuk menjerat sang Baung sementara menunggu ragutan Patin. Sekurang-kurangnya ada juga lauk untuk dibawa pulang.

Pelbagai cara digunakan bagi menggoda Patin untuk menjamah umpan. Ada yang mericik dan mencangkuk satu persatu seperti ‘satay’ atau menggunakan sawit masak yang dibuang biji tetapi kami memilih untuk mencangkuk sebiji dan dipicit bagi mengeluarkan bau kerana ia membantu umpan supaya terapung. Ini kerana struktur dasar yang berlumpur menyebabkan ikan gagal untuk menghidu bau umpan.

Pukat Lama & Set Pertengahan

Penggunaan set pertengahan berat atau sedikit ‘keras’ disarankan kerana anda perlu berdepan dengan pukat terutama pukat lama yang ditinggalkan. Ia selalunya terjadi pabila pemukat tidak berjaya menemui semula pukat yang dipasangnya atau hilang penanda yang selalunya disebabkan oleh air besar dimana segala sampah sarap mahu pun kayu balak akan dibawa oleh kepala air. Bagi memudahkan kerja mereka, pukat akan ditinggalkan begitu saja dan selalunya pemancing yang menjadi mangsa. Saya tidak menyalahkah mereka 100% kerana itu adalah mata pencarian mereka dan bukan semuanya bersikap demikian. Selalunya golongan ini memukat hanyalah sementara disesuatu tempat dan berpindah randah bila hasil berkurangan kerana mereka bukan penduduk tetap.

Kejadian tali tersangkut pada pukat bila ikan meragut umpan kerap berlaku disebabkan kita tidak boleh menjarakkan sejauh mana ikan akan mengheret tali pancing terutama waktu malam. Ia selalunya berakhir dengan kekecewaan dan sumpah seranah kerana banyak aktiviti melelapkan mata atau bersembang sementara menunggu umpan diragut ikan. Jadi, kehadiran ikan tidak begitu disedari. Bagi mengelakkan joran diheret ikan, joran akan ditambat dan sistem tegangan dikemaskan sedikit. Kekili bersaiz 3000 hingga 4000, joran berkekuatan 10lb-20lb dan tali 15lb-18lb sudah cukup bagi memudahkan anda mengawal larian Patin. Penggunaan mata kail Mustard(LiveBait) no 1/0 dan perambut sepanjang setengah depa yang sedikit kasar dapat memudahkan anda jika tersangkut jaring. Disebabkan lombong pecah ini dipengaruhi terus oleh arus sungai yang masuk, jadi gunakan batu bersaiz no5 hingga no7.

Patin 8kg

Dalam pencarian kami hampir sebulan, sebanyak 4 kali kami turun disini. Modius operandi hanya ingin mencari jawapan dan bukti bahawa masih ada Patin bersaiz mega disini yang selama ini hanya mendengar desas-desus mengenai kewujudannya. Dalam trip ini, kami berjaya menewaskan sebanyak 4 ekor Patin dan yang saiz terbesar yang diperolehi mencecah 8kg. Yang putus, rabut atau sangkut pukat jangan cakap ler…yang tu gerenti besar…. Walaupun hasil kali ini tidak begitu memuaskan hati tetapi kami tetap bersyukur kerana masih boleh merasa karen ikan besar disamping mempelajari pengalaman dari kekecewaan termasuklah mengangkat sauh ketika fight dengan ikan, mengenali lubuk, kedalaman dasar mahupun persembahan umpan. Kesimpulan yang dapat kami berikan melalui pengalaman dalam trip ini ialah bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan Patin sungai. Dalam keadaan sebeginilah istilah “team work” diperlukan.

Menjerat Sepit Biru Sungai Dulang


Menjerat Sepit Biru, Sungai Dulang
Oleh : Mohd Norsham Hashim
Email :
proraccos@yahoo.com

Udang galah atau nama saintifik nya Macrobranchium rosenbergii sering menjadi buruan kaki pancing walaupun ada pendapat menyatakan memancing udang kurang mencabar atau tak power tapi bagi mereka yang terkena karen-nya pasti akan turun walaupun setahun sekali bagi melepaskan gian.

Sungai Dulang, Perak salah satu nama yang memang tidak asing lagi bagi peminat udang galah terutama bagi mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang kerana jarak dalam lingkungan 150-200 kilometer sahaja. Dengan bermodalkan seorang lebih kurang rm50 ke rm80, berjemur sehari suntuk dan seramai 4-5 orang untuk sebuah bot yang dahulunya dikenali sebagai bot penambang. Anda akan menikmati satu trip seharian memancing udang galah yang dikatakan mampu membuat anda pulang dengan hasil memuaskan dan lebih tersenyum lebar jika anda berkunjung kena pada masanya.

Bot yang ketika dahulunya digunakan untuk membawa penumpang menyeberangi sungai Perak untuk ke kampung seberang kini kurang digunakan lagi semenjak terbinanya Jambatan Sultan Yusuf. Jadi pengusaha bot-bot berkenaan mengambil altenatif baru dengan menjadikan bot-bot berkenaan sebagai bot untuk memancing udang galah. Secara tidak langsung ia dapat di menafaatkan dari terbiar reput begitu saja disamping menambah rezeki keluarga.

Atas pelawaan kawan-kawan maka satu trip diaturkan dengan menggunakan khidmat tekong bot yang tersohor disini, Pak Ayop sebagai pembuka tirai 2008 walaupun akhir tahun kami telah pun berkunjung ke Sungai Dulang. Bukan apa, hanya perasaan rindu pada henjutan-henjutan si jenggo atau jerangkung. Kalau nak beli harga pasaran hampir bercecah rm30 ke rm40 sekilogram dan meningkat mendadak jika ada hari perayaan terutamanya Tahun Baru Cina. Ini antara sebab ia ditangkap secara berluasa dan paling menyedihkan ialah cara menangkap menggunakan taktik kotor seperti menuba. Tetapi di Sungai Dulang, tahap kepupusan udang masih boleh dikawal kerana saiz sungainya yang besar dan si penuba memang tidak dapat melaksanakan impian. Rasanya satu lori tuba pun masih belum cukup untuk menuba sungai tersebut…hehee… Jadi setiap kali kami turun kesini tidaklah perlu rasa risau akan tahap quantiti habitat bawah air terutama udang galah.


Faktor Pasang Surut & Cuaca

Dua perkara yang perlu dititik berat terutama pasang suruh air yang dipengaruhi oleh pergerakan bulan dalam kalendar islam. Air mati adalah pilihan utama untuk memancing udang kerana pasang surut air tidak begitu ketara dan arus sederhana laju. Selalunya pemancing akan memilih tarikh dari 7 hingga 11 dan 19 hingga 24 bulan islam kerana memudahkan pemancing dari segi penggunaan batu ladung yang hanya bersaiz no 5-6. Oleh kerana Sungai Dulang mengikut pasang surut perairan Pantai Barat Semenanjung(Selat Melaka) maka air pasang surut berlaku sebanyak dua kali, maknanya selang 6 jam akan berlaku perubahan arus sama ada pasang ke surut atau sebaliknya .

Ada sumber menyatakan udang kurang aktif di waktu air sungai sejuk dan sedikit tip untuk mengenal pasti air sungai sejuk dengan melabuhkan batu ladung ke dasar dan cuba rasa batunya.. Jika sejuk ia menandakan air didasar sejuk dan udang dikatakan kurang aktif, ia selalu berlaku ketika air mati kekal yang mana ketika ini arus sangat lemah atau tiada langsung.

Selain dari faktor air, musim panas juga masa yang penting kerana dikatakan udang aktif menjamah umpan pada waktu ini berbanding musim tengkujuh dan hujung tahun hingga ke awal tahun antara bulan 10 hingga 2 adalah bulan yang terbaik kerana musim udang bertelur. Cuma jika memancing diluar dari musim, hasilnya agak berkurangan tapi bolehlah…

Peralatan & Umpan

Rata-rata set pancingan udang adalah sama. Penggunaan set ringan ’ ultra ringan ekstrim’ dari segi kekili, joran atau pun tali adalah aksesori yang sepadan dengan tenaga udang, cuma disini anda digalakan menggunakan tali sulam( braided line ) atau pun tali yang direndam dengan air teh pekat kerana anda akan diajak bergurau dengan sang buntal(ikan buntal) yang sangat berminat dengan kilauan tali mono. Bayangkan tengah asyik menumpu pada pancing, tiba-tiba tali kendur. Masalahnya, ia gemar memutuskan di pertengahan tali. Dah ler guna kekili kecil, silap-silap habis satu gelendung. Ini tak termasuk mata kail dan batu ladung. Kos sekali putus mata kail + cili + batu ladung = rm 0.80. Kalau kena 10 kali putus, terasa juga poket. Jadi, tali sulam sebagai altenatif terbaik biar pun mahal sikit tapi berbaloi. Kadang-kadang umpan turun di kongsi dengan ikan lain terutama Duri. Agak merumitkan bila membuka mata kail kerana ia selalu menelan umpan. Anggap ia sebagai dugaan dan buatlah persediaan peralatan seperti playar bermuncung panjang(long noise)

Dari segi pemilihan umpan pula, perumpun, cacing dan anak udang menjadi pilihan. Ada juga yang menggunakan umpan seperti hati ayam atau ikan guppy, bukan tiada sambutan tapi kurang. Cuma kos perumpun sekarang pun boleh membuatkan kita menelan air liur dengan harga rm8 ke rm12 sebungkus bersaiz sederhana dan untuk anak udang pula anda boleh menempahnya dengan tekong bot.
Untuk keterangan lanjut atau membuat tempahan bot bolehlah menghubungi :-
Pak Ayop -019 4137425

Kolam Pancing Udang Harimau Kg. Baru Subang

Kolam Pancing Udang Harimau,
Kg. Baru Subang
Oleh : Mohd Norsham Hashim
Email : proraccos@yahoo.com


Dalam kesibukkan warga kota dengan kehidupan harian, masa untuk memancing adalah terhad. Jadi dengan wujudnya kolam-kolam pancing kita masih berpeluang untuk menerokai kaedah memancing disamping dapat merehatkan minda sambil beriadah.

Kolam Dalam Bangunan.

Terletak ditengah-tengah kesibukan kota, kolam pancing udang harimau QQ ini berlokasi di Kampung Baru Subang dan berhampiran dengan lapangan terbang Subang. Dengan keluasan 400 kaki persegi kolam ini berkonsepkan kolam simen didalam bangunan. Pemancing tidak perlu risau tentang hujan atau pun panas, siang mahupun malam. Kolam ini beroperasi setiap dari bermula 2.00 pm – 2.00 am( Isnin – Jumaat ) dan 10 am – 3.00 am( Sabtu/Ahad & Cuti Am). Bayaran yuran pula ialah RM15.00 sejam dan RM50.00 dikenakan sebagai deposit. Kadar minimum masa untuk memancing ialah 2 jam bagi setiap joran. Jangan risau tentang joran kerana disini turut dibekalkan set joran pole yang lengkap termasuk umpan. Jika anda ingin menambah perisa pada umpan bolehlah bawa dedak udang ataupun serbuk belacan. Bagi memuaskan hati pelanggan, bekalan udang akan ditambah setiap 1 jam dimana sebanyak 1 kilogram(anggaran 26 ekor) setiap kali udang dilepaskan. Sebagai menambahkan lagi semangat pemancing, cabutan bertuah berbentuk sebuah motosikal setiap bulan bakal menanti pemancing.

Bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah antara pemancing dan pengusaha kolam, beberapa syarat dikenakan seperti berikut :-
Dilarang menggunakan lebih dari satu mata kail.
Dilarang menggunakan sauk.
Dilarang memanjat diatas kolam.
Dilarang menggunakan penyepit untuk menangkap udang.
Jika joran yang disediakan patah, RM20 dikenakan sebagai ganti rugi
Segala kemalangan adalah tanggungan sendiri

Tip Sentapan.

Sebenarnya memancing udang harimau kolam lebih kurang sama dengan memancing udang galah kolam tetapi berbeza dengan memancing di Sungai. Pemancing perlu ada sedikit pengalaman dan skill. Saya yang sekian lama tidak memancingnya kerap kali gagal, hampir 2 jam memancing barulah berjaya mempelajari ‘ teknik & taktik ’ . Tumpuan terhadap joran penting kerana jika leka umpan akan dicuri udang. Jika pelampung bergerak atau tenggelam, berikan sedikit ruang agar udang dapat membawa lari umpan kerana ketika itu udang sedang membawa umpan sambil cuba memakannya. Perlahan-lahan angkat joran dan lakukan sedikit sentapan bagi memudahkan mata kail tercangkuk kemas dimulut udang. Apa yang saya lihat ia memerlukan ketekunan dan sentiasa berubah tempat mencari port udang berkumpul, samalah seperti memancing udang sungai, cuma bezanya hanya perlu bergerak selangkah dua sahaja. Sebenarnya tidaklah sukar atau perlu menunggu lama seperti memancing di Sungai. Jika kena pada port, labuhkan umpan terus mendapat sambaran.

Rakan Niaga

Bagi sesiapa yang berminat ingin membuka kolam pancing di tempat anda atau ingin menjadi rakan niaga, pengusaha kolam ini turut menyediakan pakej seperti :-
1. Membuat Kolam Pancing.
2. Membekal Udang Hidup.
3. Sokongan Teknikal.
4. Pekerja Mahir.
5. Menguruskan Lesen dan Iklan.
6. Cara-cara Berniaga.

Jika anda berminat untuk menduga udang kolam atau mengusaha kolam udang harimau bolehlah menghubungi :- En. Adam Loo 017- 355 1628
Sebarau & Sejarah Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu
Oleh : Mohd Norsham Hashim
Email :
proraccos@yahoo.com


Kuala Kubu Bharu, merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Hulu Selangor, daerah yang paling luas di Selangor. Di samping itu, Kuala Kubu Bharu juga terkenal sebagai tempat melatih pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dengan adanya Maktab Polis Diraja Malaysia, Pusat Latihan Bomba, Pusat Latihan Belia dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) . Ia juga tidak lari dari sasaran pemancing kerana wujudnya sungai dan lombong bekas kegiatan mendulang bijih suatu ketika dulu.

Kisah Lagenda Buaya Putih

Mengikut sumber(Arkib Negara Malaysia) nama Empang@Ampang Pecah ini wujud dengan satu kisah lagenda Buaya Putih kira-kira pada tahun 1883 dimana kedegilan seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking telah menembak seekor buaya putih yang kononnya dianggap oleh penduduk kampung sebagai “penunggu” (spirit guardian of the river) di situ. Akibat dari kedegilan beliau membunuh buaya tersebut maka berlaku satu banjir besar dimana telah memusnahkan empangan yang dibina oleh penduduk dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu, iaitu anak Sungai Selangor. Panjangnya empangan itu kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. Tragedi pecahnya empangan itu juga dikenali sebagai 'Sejarah Kuala Kubu'.

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah itu juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874. Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, maka lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal kenangan. Sehingga kini kita masih dapat melihat bekas peninggalan sejarah akibat dari tragedi tersebut. Itulah serba sedikit pengenalan mengenai Kuala Kubu Bharu.

Ikan Pergunungan

Kita tinggalkan sejenak kisah sejarah tersebut kerana apa yang saya ingin ceritakan ialah mengenai ikan pergunungan seperti kelah, tengas dan sebarau yang semakin hari semakin diancam kepupusan akibat arus pembangunan. Sasaran kami ialah ikan sebarau dan tengas namun perasaan ingin mendaratkan kelah memang lama terpahat dihati. Cerita-cerita penduduk tempatan kerap didengar adakalanya berserta gambar tapi terpaksa dilupa seketika. Pernah seketika satu trip menjejak kelah selama hampir dua minggu dengan pelbagai cara dan umpan tapi hasilnya negatif. Jadi buat sementara waktu kami postpone dulu dan diubah pada trip mengilat. Bagi memaksimakan kepuasan mengilat, kami hanya berbekalkan set sederhana yang berkekuatan 10paun – 15paun walaupun ada desas desus menyatakan wujud sebarau besar yang mampu memutuskan tali atau terbuka mata kail hingga ada yang sanggup menyimpan mata kail tersebut sebagai bukti.

Mengilat Hujung Minggu

Selama beberapa minggu berlangsung, boleh dikatakan setiap hujung minggu kami akan menduga beberapa port dikawasan yang dipanggil Ampang Pecah ini. Ada dua buah empangan peninggalan sejarah dan pihak berwajib telah membaikpulih serta membina pondok rehat bagi memudahkan pengunjung beriadah dan berkelah. Kunjungan pertama kami tidak mengecewakan apabila gewang killer Sebarau, Rapala shallow runner berjaya mendaratkan sebarau skala 300 gram. Bermula dari itu setiap kali kami mengunjungi empangan tersebut pasti membuahkan hasil, paling tidak pun rabut atau putus. Tapi adakalanya kami terpaksa berkongsi lubuk dengan pemancing bottom tempatan yang memancing ikan lampam atau baung. Kami beralah dan mudik kehilir sedikit ke tempat yang digelar Batu Tajam dimana keadaannya berbatu dan berjeram. Disana kami berjaya mendaratkan tengas dengan gewang Strikepro selaman dalam dan beberapa ekor sebarau remaja. Selain dari gewang yang saya senaraikan diatas, Rapala shaprap 7 cm shallow runner(goldfish & crawdad), Rapala tail dancer 5 cm(natural), Rapala x-rap(cyan) dan Yo-zuri crystal minnow sp menjadi pilihan disini. Penggunaan sesudu pula tiada rekod dalam trip kami kali ini. Teknik mengilatnya lebih kurang sama seperti mana-mana kawasan jeram lain yang mana pemancing perlu datang awal pagi atau menunggu hingga lewat petang. Bagi kami tidak merumitkan kerana jarak dari tempat tinggal ke kawasan mengilat ini hanya memerlukan 20 minit memandu.

Untuk Kesana

Jika anda dari arah selatan., sebaik sahaja anda melepasi pekan Batang Kali anda akan melalui kawasan perkampungan Rasa, teruskan pemanduan sehingga anda terlihat papan tanda ke arah Kuala Kubu Bharu, belok ke kanan dan teruskan perjalanan. Kira-kira 10 minit kemudian anda lihat sebuah jambatan yang merentasi Sungai Selangor dan terus belok kanan untuk ke empangan pertama dan kiri ke empangan kedua. Selamat Memancing!