Tuesday, November 18, 2008

Suasana Kampung Di Kolam Pak Hamid

Felda Gedangsa, Hulu Selangor yang berada di sempadan antara Selangor-Perak merupakan satu kawasan yang agak jauh dari kesibukkan kota dan kos hidup yang masih boleh dikatakan murah. Disinilah terletaknya sebuah kolam pancing air tawar yang diberi nama Kolam Pancing Pak Hamid.

Kolam Dan Banjir
Bersaiz setengah padang bola, 2 buah kolam disediakan agar dapat memudahkan pemancing membuat pilihan memilih port memancing dengan dikelilingi pokok kelapa sawit yang sengaja tidak ditebang bagi pemancing dapat merasakan suasana perkampungan felda.

Kedatangan kami berempat yang buat pertama kali disambut mesra oleh En. Isa sekeluarga selaku guide memandang beliau orang yang paling kerap berkunjung di kolam ini, tetapi agak mengecewakan apabila diberitahu kolam-kolam tersebut baru seminggu dilanda banjir besar, akibatnya banyak anak-anak ikan tilapia bersaiz 2 jari ternakan kolam bersebelahan masuk, ini mengakibatkan berlaku gangguan pada pemancing terutama yang menggunakan dedak. Pak Hamid selaku tuan kolam dalam proses mengeluarkan semula anak-anak tilapia tersebut. Walaupun kami telah diberitahu sehari sebelumnya, tapi nak buat macamana, masa dan jadual sudah di ‘set’ nak tak nak kena turun juga mencuba nasib, ikan makan tak makan belakang cerita janji dapat lepas gian.

Pacu oh Pacu
Kenyataan ini terbukti apabila setiap balingan umpan disambut anak tilapia dan pacu pada awal pagi. Kemeriahan terasa bila sang pacu menjamah umpan dan membuat lompatan walaupun berumpankan dedak, ‘fuhss…nampaknya pacu sini kebulur…meriah kite’ bisik Halim dan Azam. Tapi bila matahari mula tinggi pacu kurang sebaliknya anak-anak tilapia mengambil alih. Kelihatan kawan-kawan dah mula ‘tarik muka’ tunjuk muka boring, sekali sekala dihiburkan dengan anak tilapia yang naik sekali dua/tiga ekor menggunakan mata rambai, walaupun tujuan utama kami memancing rohu dan patin tapi nampaknya kedatangan kami tidak disambut sang rohu dan patin. Mungkin disebabkan faktor air keruh akibat dilanda banjir. Cuma bila petang tongsan sisik halus skala 3 kg berjaya didaratkan Syahidan yang pada mulanya disangka anak tilapia menggangu umpan.

Kelihatan juga beberapa pemancing lain diseberang berjaya menaikkan rohu skala 1-2 kg mengikut pandangan mata, tapi yang banyak sang pacu. Mungkin orang kampung sini yang dah biasa dengan cara masa dan port nya sebab bila masuk pukul 4 petang baru orang mula memenuhi kolam. Kelihatan juga mereka membuat ‘Jack-Pot’ sesama sendiri memandangkan tuan kolam tidak mengenakan caj dalam senarai bayaran masuk.

Mata rambai & Umpan Power
Penggunaan mata rambai atau cakar ayam sangat efektif di kolam kerana ia memberi kelebihan umpama mata 3 apabila membuat sembatan dan selaku penyelamat mata lucut/putus terutama bila berdepan dengan sang pacu yang gemar memutuskan tali, begitu juga dengan tongsan sisik halus yang makannya bak anak tilapia. Disinilah gunanya alat pengimbang tali, straw atau plaster sin, ia dapat memberi isyarat bahawa umpan mula disentuh ikan terutama tongsan sisik halus yang makannya umpama ikan kecil. Disini pemancing kena peka dan cekap membuat sembatan, ia lebih kepada ‘skill’ masa atau cara anda membuat rembatan, jika tidak anda pasti kecewa. Masa tu mulalah segala jenis sumpah-seranah keluar, padahal kelemahan sendiri. Lama-lama mulalah ‘panas telinga’ dikutuk kawan. Kesimpulannya, kenalah selalu turun memancing kolam.

Istilah umpan power memang tak ada sebenarnya kerana bak kata pepatah “lain padang lain belalang nya”, itu lah yang selalu kami alami, cuma kadang-kadang pemancing kena lebih kreatif menyelami selera ikan. Ada juga cerita dimana pemancing yang menggunakan bancuhan dedak rahsia tewas ditangan kawan yang menggunakan dedak bancuhan biasa. Contoh, kita ke kolam A dapat berbelas-belas ekor tapi bila ke kolam B, cuit pun tak de. Banyak faktor yang perlu diambil kira jika ingin memancing kolam antaranya air, masa ikan dimasukkan, umpan dan teknik yang digunakan. Jika semua itu digabungkan dan positif, pasti berbaloi yuran dibayar dan anda akan tersenyum lebar.

Bagaimana untuk kesana!
Cara yang paling mudah untuk kesana ialah anda perlu menggunakan lebuhraya PLUS menghala ke utara jika dari arah KL, selepas exit Behrang belok kanan menggunakan jalan lama ke utara dan apabila lampu isyarat belok kekiri, anda akan melalui jambatan keretapi, selepas itu anda akan jumpa simpang tiga, belok kekiri hingga jumpa round board(bulatan), ambil simpang pukul 3 menghala ke Sungai Besar. Lebih kurang 9 km perjalanan sampai di persimpangan Felda Gedangsa dan ambil kiri, dalam 1.4 km anda akan jumpa Kolam Pancing disebabkan perjalanan anda nanti banyak melalui perkampungan jadi, berhati-hati bila memandu.

Jika anda ingin mencuba nasib atau berminat nak join ‘Jack-Pot’ disamping menikmati panorama alam felda jadi bolehlah berkunjung di Kolam Pancing Gedangsa atau berhubung dengan Pak Hamid 012-632 6818 / Isa 016-563 5805 untuk keterangan lanjut atau bantuan perjalanan kesana. Akhir sekali ribuan terima kasih diucapkan kepada Pak Hamid dan Abg Isa sekeluarga terhadap layanan dan makanan yang disediakan terutama hidangan tengah hari, patin masak tempoyak yang begitu enak. Selamat Memancing!

Wednesday, November 12, 2008

KOLAM PANCING & RESORT SG. INKI, KALUMPANG, HULU SELANGOR







Pernahkah anda terfikir untuk berkunjung ke sebuah kolam air tawar, air masin atau udang yang keadaan dan suasananya bertaraf mewah, Kali ini saya membawa anda mengunjungi sebuah kolam pancing air tawar dan taman rekreasi yang anda sendiri boleh menilainya..

Kolam Pancing Permata Bonda.
Atas dasar inginkan satu perubahan dalam dunia pancing. Pengusaha kolam ini, En Raduan dengan berani mempertaruhkan modal hampir 3 juta ringgit untuk satu pembaharuan dan kepuasan dalam dunia pancingan kolam air tawar. Tanah ini yang pada asalnya hanyalah sebuah dusun buah-buahan dilereng bukit yang mempunyai sumber air sungai pergunungan, kini merupakan sebuah kolam pancing & restoran yang begitu indah. Mungkin ada yang berpendapat ia adalah perkara yang tak logik akal atau kerja gila tapi itulah hakikatnya. Pertama kali menjejakkan kaki ke sini saya dapat rasakan satu perasaan yang begitu indah dan tenang. Ianya tidak pernah saya rasakan sewaktu kunjungan saya ke kolam-kolam pancing sebelum ini. Memang berlainan sekali. Biasanya, sebut sahaja kolam pancing, berlegar difikiran saya bunyi kipas air, tempat pancing yang berbau ikan, dedak atau bau tandas yang kurang menyenangkan sememangnya sudah sinonim dengan mana-mana kolam pancing. Ternyata sangkaan saya meleset sama sekali. Begitu teruja saya dibuatnya.

Kolam yang baru 4 bulan beroperasi ini mempertaruhkan ikan kelah sebagai ikan buruan utama disamping ikan-ikan lain seperti patin, rohu, pacu dan tongsan. Dengan keluasan tanah 4 ¾ hektar, kolam yang mempunyai 5000 kaki persegi dan kedalam purata 14 kaki ini memenuhi segala kriteria yang diperlukan untuk sebuah kafe yang berkonsepkan ala kampung. Kafeteria ini juga menyediakan masakan barat, BBQ dan kampung. Jika anda berkunjung di kafe ini, anda akan berpeluang melihat pemandangan kolam pancing dari atas. Ini kerana kafeterianya terletak di atas bukit dan pemandangannya begitu memukau. Bukan itu sahaja, kolam ini turut menyediakan sebuah stage untuk menghiburkan pemancing dengan “ live band ” disamping khidmat kateringnya untuk majlis-majlis seperti perkahwinan dan hari keluarga.

Selalunya ikan-ikan yang baru ditambah stok memerlukan sekurang 3 hingga 5 hari untuk “ buka mulut “ atau menjamah umpan. Tapi Ikan-ikan disini pula tidak memerlukan masa yang lama kerana bantuan oksigen dan kebersihan airnya yang datang dari sungai pergunungan membantu memulihkan dan mencergaskan ikan-ikan semula walaupun tanpa menggunakan bantuan kipas. Kelebihan ikan-ikan sebegini ialah tahap kualiti rasa isinya sama seperti ikan-ikan di sungai pergunungan. Saya yang pada mulanya kurang mempercayai tentang kenyataan tersebut diberi peluang merasai keenakan dan kebersihan ikan-ikannya. Sebagai membuktikannya, kami disajikan ikan tongsan sisik halus yang dimasak tiga rasa. Ikan yang memang sinonim dengan rasa hanyir dan mempunyai darah yang banyak hingga sebelum ini saya tidak terniat sedikit pun untuk menjamah isinya. Tapi apa yang dapat saya nyatakan selepas merasainya, sedikit pun tiada rasa hanyir walaupun penyediaan ikan tersebut tidak menggunakan asam limau yang kerap digunakan sepertimana ikan-ikan air tawar yang lain.

Di sini, yuran yang dikenakan mengikut hari dan waktu. Jika ingin memancing dari Isnin hingga Jumaat sebanyak RM 28.00 dikenakan dan bagi Sabtu / Ahad sebanyak RM 30.00, tambahan RM 2.00 bagi yang ingin mendaftar Jackpot. Pemancing lewat malam juga disediakan pakej iaitu RM 45.00 bermula 12.00 tengah malam hingga 7.00 pagi. Bagi yang tidak membawa set pancing, anda bolehlah menyewanya dengan bayaran RM 5.

Ikan Kelah Kolam.
Kita biasa mendengar kebanyakkan kolam air tawar hanya mempertaruhkan ikan seperti siakap, rohu, patin, udang harimau/galah dan sebagainya. Tapi seingat saya, inilah pertama kali kolam bayar yang menyediakan ikan kelah sebagai taruhan pemancing. Sebelum ini ada juga saya dengar tentang pengusaha kolam yang mempertaruhkan ikan kelah tapi kuantitinya amat sedikit dan potensi untuk mendaratkannya amat tipis. Mungkin disebabkan harga ikan kelah jauh lebih tinggi berbanding ikan komersial yang lain, ramai pengusaha tidak berani mengambil risiko.

Jadi, dengan kewujudan kolam ini anda tidak perlu merentasi hutan dan sungai berjam-jam disamping risiko ancaman binatang buas atau kepala air semata-mata untuk merasai tarikan ikan yang dianggap “ lesen air tawar “ ini. Cuma suasananya tidaklah sama seperti anda dihutan. Walau bagaimanapun, sifatnya yang sensitif dan liar tetap ada dengan erti kata lain bukan mudah untuk memancingnya walaupun di kolam pancing. Pada hari pembukaannya, sebanyak 400 ekor ikan kelah bersaiz 1 kilogram hingga 4 kilogram dilepaskan. Kebanyakan ikan-ikan kelah itu dibeli dari beberapa negeri dan diternak sendiri. Mengikut kata pengusaha kolam, sehingga hari lawatan saya hanya lebih kurang 40 ekor saja berjaya dinaikkan oleh pemancing dan ada segelintir yang terlepas ke sungai berhampiran akibat daripada beberapa masalah teknikal

Saya juga diberi peluang untuk menduganya tapi apa yang diberitahu kunjungan kami kurang tepat pada masanya iaitu musim hujan. Menurutnya bahawa ikan-ikan disini kurang menjamah umpan selepas hujan. Mungkin disebabkan airnya yang sejuk menjadikan ikan kurang aktif termasuklah ikan buruan kami iaitu ikan kelah. Saya dimaklumkan oleh pengusaha kolam kekerapan ikan kelah dinaikkan ialah pada waktu malam dimana ia mahukan keadaan sunyi sama seperti keadaan di hutan tanpa sebarang gangguan. Disebabkan tiada sebarang tangkapan untuk diambil gambar, saya diberi peluang menduga sebuah lagi kolam bersaiz kecil yang digunakan sebagai kolam sokongan. Mungkin keluasannya yang kecil dan tidak terlalu dalam, kami berjaya menewaskan beberapa ekor kelah dan tengas. Itu pun terpaksa menggunakan teknik dan taktik sama seperti disungai dimana ia perlu senyap tanpa kelibat manusia disamping memerlukan masa yang agak lama untuk menjamah umpan.

Dari segi umpan pula ia tidak ubah seperti di sungai yang mana buah sawit tetap menjadi pilihan tapi disebabkan pellet makanan ikan telah diajar oleh penternak sejak dari kecil, maka penggunaannya turut mendapat sambutan. Cuma ia kerap diganggu oleh ikan-ikan lain seperti patin dan rohu. Kesimpulan yang boleh saya berikan ialah, walaupun ia diternak dikolam dan sumber makanan utamanya pellet tetapi buah sawit tetap membuka seleranya. Cuma cara ia menyambar umpan mirip kelah liar iaitu seperti ikan lampam mengutil sawit dan terus memyambar lari.

Disebabkan kolam ini tidak membenarkan penggunaan mata rambai. Jadi penggunaan 2 mata kail bersaiz kecil dan bertingkat atau tunggal disarankan tetapi pastikan ia berjenama kerana sifat daya juangnya tetap sama. Dari segi pertarungan dengannya pula saya boleh katakan ia lebih memihak kepada pemancing kerana keadaan kolamnya yang luas dan risiko untuk ikan mengheret ke reba atau kayu terlalu minimum. Yang ada hanyalah beberapa batang tiang konkrit dan pelantar memancing. Disini anda tidak perlu menambat joran, hanya longgarkan sedikit sistem tegangan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Penggunaan set pertengahan atau set kolam dengan kekuatan tali skala 10lb hingga 15lb dengan isian tali sebanyak 100 meter pada gelendung sudah memadai bagi merasai kepuasan bertarung dengan ikan yang digelar “ King Of The River “ ini.

Tetapi gambaran yang dapat saya berikan sewaktu berkunjung ke sini ialah, pemancing yang datang lebih gemar memancing ikan-ikan komersial berbanding ikan kelah. Mungkinkah mereka tidak berani menghadapi risiko seperti menunggu lama, adakah kerana bayaran yuran yang dikenakan, atau hanya mereka yang betul-betul pakar dan taksub memancing kelah berani menyahutnya. Anda bagaimana?

Kalumpang Resort & Training Centre.
Bersebelahan Kolam Pancing Permata Bonda, Sebuah kawasan penginapan dan riadah iaitu Kalumpang Resort dan Training Centre menyediakan segala keperluan bagi mereka yang ingin menikmati keindahan dan kedamaian alam semulajadi. Resort yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera ini telah beroperasi sejak tahun 2005. Ia didirikan didalam kawasan dusun seluas 18 ekar merentasi Sungai Inki. Disini anda berpeluang untuk merasai kesejukan air sungai pergunungan yang juga selamat untuk digunakan oleh semua golongan.

Pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh Kalumpang Resort seperti surau, tandas awam, kolam mandi, kafe dan sebagainya. Selain itu,ia juga sesuai dijadikan pusat latihan bagi jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta kerana kemudahan dewan dan asrama yang lengkap, disamping menyediakan aktiviti kekeluargaan seperti hari keluarga dan perkelahan secara berkumpulan mahupun individu.

Terdapat sebanyak 45 unit chalet dengan pelbagai pilihan mengikut jenis dan bajet anda. Walaupun ia mengekalkan ciri-ciri tradisional tetapi sedikit sentuhan moden seperti kemudahan penghawa dingin dan astro didalam setiap chalet mewujudkan suasana kontemporari. Selain itu terdapat juga 5 unit asrama dimana setiap unit boleh memuatkan seramai 50 orang dan tapak perkhemahannya mampu menempatkan 40 - 50 unit khemah. Jika anda hanya ingin berkelah atau berjalan-jalan bayaran RM 5 dikenakan sebagai caj masuk. Pihak berwajib juga menyediakan tempat perkelahan percuma di bahagian atas namun terhad.

Bagaimana Untuk Kesana.
Dengan menggunakan lebuhraya PLUS anda boleh susur keluar Tanjung Malim dan belok ke kanan arah Kuala Kubu Bharu. Anda akan melalui kawasan perkampungan Keliang dan kemudian Kalumpang. Selepas sahaja menemui Masjid disebelah kiri dan Pusat Kesihatan disebelah kanan, belok kanan dan anda akan menemui pekan Kalumpang. Sila ikut papan tanda kearah Kalumpang Resort & Training Centre. Perjalanan dari pekan Kalumpang kira-kira 2 kilometer. Walaupun ajak jauh dari jalan besar dan bandar tapi saya pasti anda akan berkunjung semula. Selamat Memancing!

Sebarang pertanyaan atau tempahan:

Kolam Pancing Permata Bonda
En. Raduan Tel: 019-371 1038 / 014-321 6713

Kalumpang Resort & Training Centre
Tel: 03-6049 1969
Laman Web:
www.kalumpang.com.my

KOLAM PANCING DANAU SERENDAH, HULU SELANGOR

Kira-kira 10 tahun lalu saya pernah berkunjung dikawasan air terjun disini untuk berkelah dan memancing. Dahulu tempat ini dipenuhi dengan semak samun dan hutan tebal. Keadaannya sekarang sudah berubah dengan kewujudan beberapa kawasan perumahan dan Pusat Serenti yang dibangunkan sejajar dengan keperluan pembangunan negeri Selangor yang kian pesat.

Sumber Air Pergunungan
Terletak bersebelahan dengan pusat perkelahan air terjun, Kolam Pancing Danau Serendah ini menjemput pemancing yang mementingkan daya juang ikan, saiz dan rasa ikan disamping beriadah bersama keluarga. Antara faktor utama selain dengan apa yang saya nyatakan diatas ialah punca airnya yang menggunakan sumber terus dari air sungai pergunungan yang sentiasa cukup dengan oksigen dan bersih. Walaupun ikan-ikannya tidak terlalu besar tetapi jika anda berkunjung ke sini ia pasti menjanjikan satu kepuasan maksimun bertarung dengan ikan walaupun hanya bersaiz 1 kilogram hingga 2 kilogram sahaja.

Kolam yang berkeluasan setengah padang bola dan mempunyai kedalaman lebih kurang 2 meter ini menyediakan segala keperluan asas sama seperti kolam komersial lain. Pada kunjungan pertama saya beberapa bulan lalu kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan bagi menaik taraf seperti kolam sokongan dan sebuah lagi kolam pancing bakal dibuka. Ini bermakna, jika telah siap kelak, pemancing boleh memilih kolam yang diingini untuk menduga penghuninya. Yuran yang dikenakan pula ialah sebanyak RM 24.00 untuk 3 jam dan RM 7.00 sejam bagi setiap tambahan masa.

Bagi setiap pemancing kolam, stok ikan pasti menjadi keutamaan setiap kali berkunjung kemana–mana kolam bayar. Jadi, bagi memuaskan hati pengunjung, stok ikan akan ditambah setiap minggu atau mengikut jenis ikan yang dibawa keluar hasil tangkapan pemancing. Caranya ialah setiap pengunjung yang berjaya dengan hasil tangkapan akan ditimbang dan direkodkan. Dengan cara ini pengusaha dapat mengenalpasti kuantiti dan jenis ikan yang dibawa keluar bagi memudahkan penambahan stok ikan. Seperti kolam-kolam komersial lain juga, pacu, patin, rohu, keli dan tongsan menjadi taruhan disini.

Penggunaan Penyandar Joran( Rod Stand )
Penyandar joran( rod stand ) dikenali juga kaki kolam dengan nama ‘ besi pancang ’ adalah salah satu peralatan penting jika anda ingin berkecimpung dalam dunia pancingan kolam. Ada juga sesetengah kolam menyediakan penyandar joran jenis pasang siap yang dipasang ditepi-tepi kolam. Tetapi selalunya pemancing lebih selesa menggunakan penyandar joran yang dibawa sendiri. Pelbagai jenis dan bentuk kita dapat lihat dipasaran sekarang. Tidak kurang pula yang menggunakan kreativiti dengan membuatnya sendiri. Tetapi tujuan tetap sama iaitu menyandar atau memangku joran dengan keadaan selamat dan mudah dikendalikan.

Selama pemerhatian saya memancing kolam. Penggunakan penyandar joran berbentuk ‘Y’ amat efektif dan senang untuk dibawa apabila pemancing kerap berpindah ‘port’. Ia juga memudahkan pemancing untuk mengangkat joran bagi tujuan menukar umpan dan melakukan sentapan. Saiz dan panjang penyandar joran itu juga perlu diambil kira. Sebaik-baiknya pilihlah batang besi yang sedikit besar dan panjang. Pemilihan ini berasaskan kenyataan bahawa batang besi yang bersaiz kecil kurang stabil sekiranya joran direntap ikan.

Tetapi penggunaan penyandar joran jenis ini ada kebaikan dan kelemahannya. Jika sistem tegangan dikemaskan dengan tahap maksimun
dikhuatiri joran anda akan terjun ke dalam kolam diheret ikan kerana ia tiada sebarang sokongan tambahan sebagai keselamatan melainkan hanya sekadar menyandar atau memangku joran. Kejadian seperti ini kerap berlaku jika pemancing leka atau lambat mencapai joran apabila ikan meragut umpan terutama yang bersaiz besar. Selalunya pemancing yang kerap menjadi mangsa ialah mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia pancingan kolam. Walaupun mengambil semula joran yang terjun boleh dilakukan, tapi ia salah satu perkara yang memalukan bagi seorang pemancing dan mengganggu konsentrasi pemancing lain. Moral dari kejadian ini ialah pemancing haruslah sentiasa berada didalam keadaan bersedia dan peka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Malang tidak berbau!

Saranan saya gunalah penyandar joran berbentuk ‘Y’ sebanyak 2 unit. Ia dipasang dibahagian depan dan belakang joran. Penyandar joran hadapan perlulah bersaiz besar dan melepasi cincin yang pertama. Fungsinya ia dapat menghalang joran dari meleret jika disambar ikan. Tapi pastikan sistem tegangan dilonggarkan dahulu. Penyandar joran bahagian belakang pula hanyalah sebagai pemangku joran dan sekadar menyelaraskan tahap ketinggian joran bagi memudahkan joran dikendalikan.

Bagaimana untuk kesana!
Jika anda dari arah Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan persekutuan atau jalan lama. Anda akan melalui Bandar Rawang dan Pekan Sungai Choh. Selepas sahaja merentasi Pekan Serendah. Anda akan temui lampu isyarat. Terus membelok kekanan dan cari arah ke Pusat Serenti Serendah. Anda akan melalui beberapa taman perumahan dan perkampungan orang asli. Selepas sahaja persimpangan Pusat Serenti Serendah, teruskan perjalanan. Lebih kurang 5 minit perjalanan anda akan temui Kolam Memancing Danau Serendah. Selamat Memancing!

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan En. Ibrahim( 013- 239 5125 ) atau En Rahim( 019-389 5775 )

KOLAM PANCING RBK, SUNGAI CHOH


Terletak di Sg. Choh, Rawang, kolam pancing “ Rahim Bersama Keluarga ” atau singkatannya RBK merupakan salah satu kolam yang pada asalnya adalah kolam air masin tapi atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, tuan kolam En. Rahim telah memberi nafas baru dengan mengusahakan kolam pancing air tawar. Dengan keluasan lebih kurang 2500 kaki persegi dan kedalamannya mencecah 7 kaki, kolam ini turut menyediakan pelbagai kemudahan asas. Ia juga turut menjual keperluan memancing seperti umpan dan mata kail. Jadi anda tidak perlu risau jika terlupa membeli keperluan memancing.

Seperti kolam-kolam lain, RBK turut mempertaruhkan ikan-ikan yang tidak kurang hebatnya seperti Rohu, Patin, Tongsan dan Pacu bagi menguji kehebatan para pemancing. Dengan hanya bayaran Rm 21.00 untuk 3 jam dan dengan tambahan Rm 7.00 anda boleh memancing selama 5 jam. Bagi yang suka bersengkang mata, bayaran Rm 30.00 dikenakan dari pukul 12.00 tengah malam hingga 7 pagi. Anda dikenakan bayaran sebanyak Rm 6.00 sejam jika melebihi waktu yang ditetapkan. Semua bayaran telah termasuk untuk Jackpot Bulanan. Setiap hari Jumaat, dari pukul 9 mlm hingga 1 pagi kolam ini mengadakan Jackpot Hantu dengan bayaran Rm 30.00. Hadiah akan diberikan mengikut syarat dan terma pihak pengurusan. Bagi yang suka berhibur setelah penat memancing, bolehlah berkaraoke sambil menjamu selera dengan harga yang berpatutan.

Tali 10lb-15lb
Bagi mereka yang tidak membawa sauk/tangguk, disarankan gunalah tali bersaiz kasar sedikit(10lb-15lb) kerana anda perlu mengheret ikan naik dari tebing kolam. Pihak pengurusan ada menyediakan sauk tapi keperluannya terhad dan jarak dari tebing ke gigi air agak jauh. Jadi ia memerlukan anda turun kebawah sedikit. Pernah satu kejadian dimana seorang sahabat ingin membantu rakannya mengambil ikan tanpa menggunakan sauk telah tergelincir jatuh kedalam kolam. Ikan terlepas, rakannya basah kuyup…

Pemerhatian saya selama memancing disini, penyediaan umpan tidaklah terlalu rumit atau kata lain ikan tidak terlalu memilih umpan. Ini bermakna penggunaan umpan biasa yang dibeli sudah memadai. Mungkin sedikit kelebihan bagi mereka yang menggunakan umpan rahsia. Penggunaan mata rambai juga adalah perkara rutin bagi kolam pancing air tawar. Itu pun bergantung pada syarat dan peraturan “tokey” kolam kerana tidak semua kolam pancing membenarkan penggunaannya atas sebab-sebab tertentu:-

Cadangan Untuk Pengusaha Kolam
Sepanjang pengalaman saya memancing di kolam bayar tak kira air masin atau pun air tawar, tidak ramai pengusaha kolam yang mengutamakan aspek keselamatan terutamanya kolam yang diperbuat daripada simen yang kebanyakannya kolam air masin atau kolam siakap. Ini kerana kolam simen lebih berisiko disebabkan tebing kolamnya yang tinggi dan tiada penghadang. Ia mengundang bahaya terutama bagi mereka yang membawa kanak-kanak. Sekiranya aspek keselamatan dipertingkatkan, saya percaya keselamatan pengunjung lebih terjamin.

Ada beberapa perkara yang saya cadangkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku walaupun ia selalu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, antaranya ialah :-
a) Membuat tangga atau pelantar bagi memudahkan pemancing untuk turun ke gigi air jika perlu.
b) Memperkemaskan penghadang di sekeliling kolam terutama yang diperbuat daripada kayu.
c) Menyediakan Pelampung atau jaket keselamatan
d) Kotak perubatan (First Aid Kit)
e) Alat pemadam api (Fire Extinguisher)

Bagaimana Untuk Kesana?
Cara yang paling mudah untuk kesana ialah menggunakan lebuhraya PLUS dari Utara – Selatan. Selepas keluar dari tol Bukit Beruntung belok kekanan dan terus memandu, anda akan jumpa persimpangan ke Sg. Buaya dan ke kilang Perodua, teruskan pemanduan anda, lebih kurang 2 kilometer dari simpang kilang Perodua itu anda akan ternampak sebuah kilang perabot ( MALPRO ) dan teruslah membelok ke kanan selepas sahaja kilang tersebut, dari jalan besar akan kelihatan kolam RBK.

Jika anda berminat untuk menduga kolam ini atau peminat ‘Jackpot’, bolehlah berkunjung di Kolam Pancing RBK atau berhubung dengan En. Rahim – 019-283 2757 untuk keterangan lanjut. Selamat Memancing!

KOLAM PANCING UDANG QQ, SUNGAI BULUH


Terletak di Bandar Baru Sungai Buluh, Kolam Pancing Udang QQ menyediakan udang harimau sebagai taruhan yang semakin diminati oleh pemancing kolam.

Kolam Simen
Kolam didalam bangunan yang diperbuat daripada simen ini bolehlah dikatakan sejajar dengan kehidupan dan kehendak warga kota yang sentiasa sibuk dengan kerja harian dan menghadapi pelbagai tekanan di tempat kerja untuk melepaskan tekanan mereka. Boleh dikatakan juga tempat bagi para beginner mempelajari teknik mengail udang terutama kanak-kanak atau wanita. Dengan kedalaman 2 kaki dan berkeluasan 650 kaki persegi, kolam ini mampu menampung kira-kira 50 orang pemancing dalam satu masa. Yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM15.00 sejam(minimum 2 jam). Bayaran RM50.00 dikenakan sebagai deposit dan anda dibekalkan dengan sebatang joran(ultra ringan ekstrim) serta umpan(hati/hempedu ayam). Disini turut menjual perumpun dengan harga RM10 sebagai alternatif untuk menjerat udang. Bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah antara pemancing dan pengusaha kolam, beberapa syarat dikenakan seperti berikut :-
a) Dilarang menggunakan lebih dari satu mata kail.
b) Dilarang menggunakan sauk.
c) Dilarang memanjat diatas kolam.
d) Dilarang menggunakan penyepit untuk menangkap udang.
e) Jika joran yang disediakan patah, RM20 dikenakan sebagai ganti rugi.
Bagi memuaskan hati pelanggan, bekalan udang akan ditambah setiap 1 jam dimana sebanyak 1 kilogram(anggaran 20 ekor) setiap kali udang dilepaskan.

Tip Sentapan
Jangan memandang rendah si pengail udang kolam kerana memancing udang kolam terutamanya kolam simen berbeza dengan memancing di sungai. Selalunya pemancing akan menggunakan pelampung kecil. Sebenarnya, tidaklah sukar atau perlu menunggu lama seperti memancing di sungai. Cuma perlukan sedikit “teknik & taktik” untuk menjeratnya, yang penting si pengusaha menambah bekalan udang. Cara biasa yang saya lihat ia memerlukan ketekunan dan sentiasa berubah tempat mencari port udang berkumpul, samalah seperti memancing udang sungai, cuma bezanya hanya perlu bergerak selangkah dua sahaja tanpa perlu mendayung atau menggunakan enjin.

Tumpuan atau fokus terhadap joran penting kerana jika leka umpan akan dicuri udang, alamat tinggal besi je lah…. Jika pelampung bergerak atau tenggelam, berikan sedikit ruang agar udang dapat membawa lari umpan. Perlahan-lahan angkat joran dan lakukan sedikit sentapan bagi memudahkan mata kail tercangkuk kemas dimulut udang, pasti membuahkan hasil.

Bagaimana untuk kesana.
Jika anda melalui lebuhraya PLUS dari arah Selatan. Selepas susur keluar Sungai Buluh belok kekiri dan teruskan perjalanan anda hingga anda melalui kawasan Bandar Baru Sungai Buluh. Teruskn perjalanan ke arah Paya Jaras sehingga anda bertemu bangunan Telekom, terus belok kekiri. Lebih kurang dalam 100 meter anda akan dapat melihat Kolam Pancing Udang QQ.

Jika anda berminat untuk menduga udang kolam bolehlah menghubungi :-
En. Adam Loo 017-355 1628

KOLAM DANAU PANCING DAMAI IJOK



Pertama kali saya melangkah masuk ke kolam ini saya sangkakan sedang melawat sebuah taman rekreasi dan bukan sebuah kolam pancing ikan air tawar kerana keadaan suasananya yang tenteram dan diliputi pokok-pokok taman yang menghijau.

Kolam Dalam Taman
Terletak di Ijok, Kuala Selangor. Kolam yang berbentuk ‘U’ dan berkeluasan 2.5 ekar serta keseluruhan kawasan seluas 5 ekar ini boleh menampung kira-kira 250 pemancing dengan selesa. Berkedalaman dianggarkan melebihi 3 meter dibahagian tengah kolam ini sudah cukup menguji kemahiran dan kesabaran pemancing untuk menewaskan ikan-ikan kolam seperti Rohu, Patin, Pacu dan lain-lain. Dengan perbagai kemudahan asas seperti surau, tandas, kantin dan karaoke, ia juga menyediakan tempat penginapan bertaraf chalet bagi memudahkan pemancing yang datang dari jauh atau ingin membawa keluarga menginap sambil memancing. Kolam ini boleh dikatakan antara kolam yang terbersih dan teratur dari segi infra struktur yang pernah saya lawati. Cuma kedudukannya agak jauh dari bandar tapi jika anda biasa menggunakan jalan untuk ke Kuala Selangor, tidaklah terlalu susah untuk kesana.

Dibawah pengurusan baru iaitu Kail Desa awal bulan Disember 2007. Pada awal pembukaan, sebanyak 4 tan ikan dilepaskan secara berperingkat dan setiap minggu akan ditambah pada hari Rabu atau Khamis. Premis ini dibuka 24 jam kecuali hari Khamis sehingga jam 12 malam. Bayaran masuk adalah RM 20 untuk 4 jam dan RM 58 untuk 12 jam dengan bayaran RM 2 untuk tabung wang terkumpul mingguan yang diadakan setiap dua minggu sekali. Cabutan bertuah juga diadakan setiap dua minggu sekali untuk kesemua pemancing yang datang sepanjang dua minggu itu. Bagi pemancing yang suka memancing di awal pagi, hanya dikenakan bayaran RM 25 untuk 7 jam memancing dari pukul 12 mlm sehingga 7 pagi.

Roti + Kelapa + Perisa Pandan = Patin
Memang tak dinafikan ramai kaki pancing kolam mempunyai umpan rahsia masing-masing. Ramuan roti + kelapa + perisa pandan saya temui ketika berkunjung di kolam Danau ini dikatakan berpotensi menewaskan ikan-ikan terutama patin kolam dan ia sedang hangat dipergunakan berbanding penggunaan dedak mahu pun umpan lain.

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menggunakan umpan ini. Roti dipotong dadu kecil-kecil, kemudian digaulkan dengan kelapa parut dan campurkan sedikit perisa pandan yang juga boleh didapati disini atau dikedai-kedai pancing, biarkan seketika bagi ramuan-ramuan tersebut menyerap didalam roti dan boleh terus digunakan.

Untuk menggunakannya, mata kail bersaiz besar adalah disyorkan seperti mata kail udang bersaiz no 14 ke 15 kerana batang terasnya yang kecil dan tajam memudahkan melekat kukuh dimulut ikan. Tidak perlu menggunakan mata rambai atau cakar ayam, penggunaan perambut dua mata sudah memadai. Digalak menggunakan tali perambut jenis sulam(braided line) kerana dikatakan ia lebih sensitif, mudah melekat dan tahan putus jika mendapat ragutan dari sang Pacu. Cangkuk roti tadi hingga menutupi mata kail, kemudian kepal-kepalkan roti menjadi gumpalan besar atau ‘bomm’. Cara ini dapat membantu umpan dari terlerai sepenuhnya jika terlalu lama didalam air kerana roti mudah kembang. Jangan terlalu memaksa ketika membuat balingan kerana ia mudah terlucut dari mata kail. Tidak perlu membuat sembatan yang terlalu kuat, biarkan radar naik dan pantas membuat sembatan biasa, ia sudah memadai. Saya pasti anda tidak akan kecewa.

Disini anda juga berpeluang membeli minyak bancuhan dedak yang dikatakan ‘killer’ bagi ikan-ikan kolam termasuklah cara-cara bancuhan dan jenama dedak yang selalu digunakan oleh pemancing-pemancing yang lebih senang digelar ‘geng cari makan’’.

Sistem SMS
Apa yang menarik perhatian saya ialah kolam ini menggunakan sistem pesanan ringkas(SMS) jika terdapat sebarang berita terbaru berkenaan kolam seperti pertandingan atau pun perubahan dari segi yuran. Dengan pendedahan baru ini pemancing tidak risau jika terlepas sebarang perkembangan tentang kolam. Cuma anda perlu meninggalkan nombor talipon bimbit di kaunter.

Bagaimana untuk kesana!
Cara mudah dengan menggunakan laluan MRR2 terus menghala Kuala Selangor. Lebih kurang 15 km dari penjara Sg.Buluh. Sampai di pekan Ijok dan Masjid Ijok, anda akan jumpa papan tanda Kolam Danau Pancing Damai bertentangan dengan masjid, belok kiri. Selamat Memancing!

Untuk keterangan lanjut atau tempahan chalet boleh berhubung :-
ADI – 017 886 0973

KOLAM PANCING BISIKAN BAYU, KERLING


Setiap kali saya berkunjung ke kolam pancing ada beberapa perkara penting yang saya titik beratkan selain dari tandas, surau dan gerai makan. Iaitu faktor air, rasa dan saiz ikannya.

Saiz, rasa & air
Bila disebut tentang kolam komersial, saya lebih mementingkan perkara yang diatas sekiranya saya inginkan ikan tersebut sebagai santapan, faktor yang perlu diambil kira ialah keadaan airnya bagi menjamin tiada sentuhan lumpur pada ikan. Selalunya pemancing akan melihat keadaan kolam tersebut ada pengaliran air segar masuk/keluar dan secara sendirinya kita dapat membayangkan bahawa ikan-ikan didalamnya kurang atau tiada berbau lumpur, barulah kita fikirkan tentang saiz ikannya pula.

Trip saya kali ini ialah sebuah kolam pancing air tawar yang pada pendapat saya antara kolam yang terbaik saya pernah kunjungi kerana selain dari suasana dan kebersihan, rasa ikannya yg tiada sentuhan lumpur. Kolam yang menggunakan sistem pengaliran terus dari sungai-sungai pergunungan berikutan kedudukannya dipersisiran banjaran Titiwangsa dan kurang berlaku percemaran alam sekitar. Anda dapat melihat sendiri keadaan air kolam yang bersih dan jernih kehijauan memberi kelebihan pada ikan untuk lebih aktif dan agresif.

Bisikan Bayu
Kolam Bisikan Bayu, nama kolam yang tidak asing lagi bagi peminat kolam sekitar Hulu Selangor. Terletak bersebelahan kawasan riadah Kolam Air Panas dan Sungai Kerling. Kolam yang jauh dari kesibukan kota ini pasti menjanjikan satu kenangan indah jika anda pertama kali berkunjung. Ia tidak terhad untuk kaum bapa sahaja. Anda juga boleh membawa keluarga kerana Bisikan Bayu turut menyediakan tempat penginapan bertaraf banglo dengan harga berpatutan selain perbagai kemudahan lain termasuklah taman rekreasi.

Kolam yang berkeluasan setengah padang ini diusahakan dan dinaik taraf oleh seorang bekas tentera, Abg Mat dan isteri. Seperti kolam komesial lain, kemudahan asas turut disediakan dan yang menarik, kolam ini menyediakan perbagai makanan ala kampung jika ada permintaan. Jadi, dapatlah anda memancing sambil menjamu selera dengan suasana yang segar, indah dan bersih. Ia juga turut menyediakan khidmat seorang chef bagi menyediakan ikan bakar hasil memancing.

Umpan Lembik
Ramai yang mengeluh jika menggunakan umpan dedak yang lembik kerana ia menyukarkan untuk membuat balingan tapi sebenarnya penggunaan umpan lembik lebih berpotensi kerana ia mudah terlekat pada mulut ikan dibanding umpan biasa terutama ikan yang gemar menyedut seperti tongsan sisik halus. Selain itu, ia mampu mengeluarkan bau-bauan dengan cepat dan memudahkan ikan untuk mengesan, cuma kelemahanya mudah terlerai jika kurang peka dengan cara balingan atau tali tersentap.

Kali ini saya ingin berkongsi tip tentang balingan menggunakan umpan lembik terutama mereka yang tidak menggunakan mata rambai ber-spring. Cara termudah ialah sebelum membuat balingan, labuhkan umpan lebih kurang setengah depa dari hujung cincin agar dapat membuat hayunan yang lembut tapi jauh dengan erti kata lain, jangan terlalu memaksa. Sebaik-baiknya gunalah set ringan serta tali berkekuatan 4-8 paun, ia turut dapat membantu membuat balingan umpan. Hayunlah dengan lembut umpama pepatah “menarik rambut didalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”. Jika terlalu kuat atau memaksa, umpan akan bertaburan dan jika terlalu perlahan umpan tak pergi jauh. Disini juga perlu ada ‘skill’. Cubalah beberapa kali pasti anda dapat ‘skill’ nya.

Saya syorkan gunalah dedak sahaja tanpa atau kurang penggunaan tepung kerana ia membuatkan umpan menjadi keras dan mengurangkan bau aroma umpan tersebut. Untuk menduga baung atau pacu, gunalah cacing atau serangga seperti cengkerik tapi kolam ini melarang penggunaan usus binatang seperti perut dan hati ayam kerana ia boleh menjejaskan kebersihan air disamping baunya mengganggu ketenteraman pemancing lain.

Kepuasan Maksimum
Ikan yang selalu mencuri tumpuan disini ialah patin, rohu dan pacu. Disebabkan ia tinggal di kolam yang airnya cukup oksigen, ikan-ikan disini mempunyai daya juang yang cukup kuat dan ganas. Kejadian joran terjun adalah perkara biasa bagi mereka yang pertama kali berkunjung disini. Ia jarang memberi amaran dan jika anda leka atau tidak melonggarkan system tegangan, pasti kena minta bantuan sahabat untuk mengambil joran yang terjun. Jika anda inginkan kepuasan maksimum, gunalah set pancing ringan. Anda pasti dapat merasai satu kelainan dipandankan pula dengan ikan-ikan yang cukup oksigen, pasti melenguhkan tangan walaupun hanya seekor berjaya didaratkan.

Ikan-ikan sini juga dikatakan bersikap suka membuat lubang/kawah dan berpindah-randah. Mungkin sebab faktor dasarnya berpasir. Jika anda dalam masa ½ - 1 jam umpan tidak dijamah, berpindahlah tempat kerana mungkin anda tidak melabuhkan umpan betul-betul dikawasannya. Sumber menyatakan mungkin penghuninya yang padat menyebabkan perebutan kawasan terutama sang pacu. Ikan patin bersaiz besar( 9 kg keatas ) turut dilepaskan dan kategori sebagai “Jackpot”. Bisikan Bayu juga menyediakan sebuah kolam yang dibuka kepada sesiapa berminat dengan cara ‘ Pancing, Timbang & Bayar ’ dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Bagaimana ke sana?
Tidak sukar untuk kesana! Jika anda dari sekitar Lembah Klang, jalan termudah ialah menggunakan jalan lama kearah Ipoh, selepas saja pekan Kerling lebih kurang 500 meter anda akan nampak papan tanda “Kolam Pancing Bisikan Bayu” disebelah kanan persimpangan dan teruskan mengikut arah papan tanda, kira-kira 10 minit perjalanan yang melalui kampung baru cina anda akan sampai di kolam. Perjalanan dari simpang jalan besar hingga ke kolam kira-kira 2 km. Selamat memancing dan beriadah!

Sebarang Pertanyaan Sila Hubungi:-
Abg Mat ~ 012-927 7113